Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBB dijangka hanya tukar seorang calon
Diterbitkan:  Apr 6, 2013 4:58 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Sebahagian besar penyandang kerusi Parlimen di Sarawak dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka dikekalkan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan parti itu hanya mengetengahkan seorang calon baharu, iaitu seorang wanita.

Ketua Menteri dan Presiden PBB Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketika memberi gambaran itu, berkata senarai calon telahpun siap dan hanya menanti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan senarai akhir.

Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia di Le'Park Pusat Integrasi Bersepadu Kuching di sini hari ini.

Sebelum ini seorang calon wanita disebut-sebut untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan, satu daripada 14 kerusi yang akan dipertahankan PBB pada PRU-13.

Ketika ini PBB mempunyai tiga anggota parlimen wanita iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Karim yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, Nancy Shukri (Batang Sadong) dan Norah Abdul Rahman (Tanjong Manis).

Sebanyak 29 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dikuasai BN, PBB (14), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (enam), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (lima) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) (empat) manakala dua lagi dikuasai parti pembangkang DAP.

Dalam pilihan raya Parlimen 2008, BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi dan kalah satu lagi kerusi kepada DAP dalam pilihan raya kecil Sibu pada 2010.

- Bernama

ADS