Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan promosi 'whassap' di kalangan penduduk

Program "Kenali Jiran Kita" yang dilancarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di kawasan perumahan di bandar telah menghidupkan kembali amalan dan tradisi semangat kejiranan.

Selain mengeratkan pemuafakatan pelbagai kaum, program itu juga menyemarakkan kembali semangat perpaduan, setiakawan, serta gotong-royong.

Ibarat pepatah Melayu 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat', ia menjelaskan betapa pentingnya nilai muafakat dalam masyarakat terutama dalam hidup berjiran di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Bagi Pengerusi Majlis Permuafakatan Komuniti 1Malaysia Parlimen Lembah Pantai dan Segambut Datuk Yusri Ahmad, program "Kenali Jiran Kita" amat relevan bagi menghidupkan kembali nilai tradisi kejiranan yang diamalkan generasi terdahulu.

Beliau berkata jiran merupakan komuniti paling hampir dengan kehidupan setiap individu, dan menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengetahui serta memahami segala perkara yang berlaku kepada jiran tetangga.

"Bagaimanapun, realiti hari ini jauh berbeza dengan budaya hidup berjiran yang diamalkan dahulu. Kini mereka lebih suka buat hal sendiri ibarat 'enau dalam, belukar melepaskan pucuk masing-masing', walaupun pada hakikatnya rumah mereka sangat dekat, malah hanya bersebelahan," katanya kepada Bernama .

Beliau berkata untuk itu program seperti ini penting kepada masyarakat majmuk seperti Malaysia untuk menghidupkan kembali budaya hidup berjiran, selain memberi kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab dalam hal ehwal kemasyarakatan.

Bagi Mohd el-Faris Khairul Anuar, 37, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, program sedemikian harus diteruskan kerana ia bukan sahaja mengukuhkan semangat permuafakatan jiran tetangga tetapi juga sebagai satu platform ideal sebagai penghubung pihak kerajaan dan masyarakat setempat.

"Penglibatan kerajaan dalam program ini memang dialu-alukan kerana agensi-agensi kerajaan turut sama dalam penyertaan itu melalui pameran dan gerai informasi yang membuka ruang kepada kita untuk memahami fungsi mereka dan saluran yang boleh kami pergi sekiranya hendak melaksanakan sesuatu kerja atau bantuan itu," katanya.

Beliau yang telah 13 tahun menetap di kawasan Kerinchi berkata ia adalah kali pertama program sedemikian diadakan di kawasan perumahannya, walaupun gotong-royong kenduri kahwin biasa diadakan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman dalam satu temu bual bersama Bernama berkata program "Kenali Jiran Kita" cetusan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk mewujudkan suasana harmonis dan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk Malaysia.

Katanya, program yang dilancarkan sejak awal tahun ini telah berjaya diadakan di hampir 15 kawasan perumahan bandar seluruh negara.

Ia bermatlamat untuk menghidupkan kembali semangat perpaduan dan kejiranan antara penduduk majmuk bandar khasnya mereka yang tinggal di taman-taman perumahan dan flat.

"Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni dan kesedaran sivik pada masyarakat, khasnya "sense of ownership" (rasa pemilikan) dalam penjagaan dan penyelenggaran kemudahan-kemudahan awam yang disediakan pihak berkuasa di kawasan perumahanm," katanya.

Program ini disemarakkan dengan pelbagai akitivi untuk menggalakkan jiran tetangga berinteraksi secara bersemuka seperti bergotong-royong dan penglibatan dalam akitiviti kesukarelawan dan khidmat sosial.

Ibrahim berkata, pemuafakatan yang kuat antara jiran tetangga juga tidak harus dipandang ringan kerana ia dapat membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi nasional seperti usaha mencegah jenayah.

Katanya, perancangan sedang dibuat untuk memperluas program ini ke lebih  banyak kawasan termasuk kawasan perumahan mewah dan elit, berikutan maklum balas memberangsangkan yang diterima daripada akar umbi.

Bagi memastikan adanya kesinambungan dan kelangsungan pada program-program yang telah diadakan, Ibrahim berkata seorang pegawai kementerian akan dilantik sebagai fasilitator program di setiap kawasan yang terlibat.

"Kita mahu supaya ada susulan pada program-program ini, supaya ia benar-benar memberi impak kepada kumpulan sasar dalam jangka panjang," kata beliau dalam satu temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata, bersesuaian dengan trend penggunaan teknologi semasa, Jabatan itu juga mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan "whassap" bagi penduduk flet di mana program-program ini telah diadakan.

"Aplikasi "whassap" memudahkan lagi komunikasi antara jiran tetangga dan memastikan sentiasa ada interaksi dan perkongsian maklumat antara mereka walaupun masing-masing sibuk dan tiada masa untuk berjumpa selalu.

"Misalnya apabila ada aktiviti gotong-royong, ketua boleh men"whassap" sahaja maklumat untuk semua, tak payahlah dia terpaksa memberitahu jiran-jirannya satu persatu," kata beliau.

- Bernama

ADS