Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah setakat semalam sudah mengeluarkan 621 borang pencalonan untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

    

Timbalan Pengarah (Operasi) Pilihan Raya negeri Abdul Manap Ali Omar berkata daripada jumlah itu, 188 borang dikeluarkan untuk Parlimen dan 433 borang untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).

    

"Wakil setiap parti yang ingin bertanding pada pilihan raya umum di negeri ini mulai mengambil borang di pejabat kami sejak 4 April lalu iaitu sebaik Parlimen dan DUN dibubarkan," katanya.

    

Abdul Manap berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan writ kepada 26 pegawai pengurus PRU13 Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pejabat Pilihan Raya negeri di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

    

Semalam, SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRU13 pada 20 April ini, manakala pengundian pada 5 Mei depan.

Abdul Manap berkata 17,686 petugas telah dilantik untuk menjayakan proses pilihan raya di Sabah dan Labuan.

    

Beliau berkata sejumlah 1,006,288 penduduk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan layak mengundi di kesemua 26 kawasan Parlimen di negeri ini termasuk satu kerusi Parlimen di Labuan pada PRU13.

    

Di KUANTAN, Pengarah Pilihan Raya Pahang Othman Noh berkata sehingga kini 54 borang pencalonan bagi Parlimen dan 138 borang untuk DUN telah dikeluarkan.

Beliau berkata 14,591 petugas SPR Pahang akan bertugas sepanjang proses PRU13, manakala pada hari pengundian 5 Mei sebanyak 1,531 saluran undi biasa akan dibuka.

    

Beliau berkata SPR Pahang akan menggunakan khidmat helikopter di tiga kawasan Parlimen iaitu di Jerantut, Rompin dan Cameron Highlands bagi urusan pengangkutan kertas undi.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 14 pegawai pengurus PRU13 di Kota Kinabalu hari ini.

- Bernama

ADS