Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah: Wanita Umno tak bantah pemilihan calon

Bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz yakin BN akan meraih sokongan lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serta memenangi kembali negeri yang sebelum ini jatuh ke tangan pembangkang.

Beliau berkata BN telah membuat analisis dan kajian mendalam akan faktor kekalahan beberapa negeri sebelum ini, dan pelbagai tindakan telah diambil untuk mengatasi kelemahan lepas.

"Jangan lupa yang kalah kebanyakannya tipis. Mungkin calonnya silap atau strategi silap atau ada perkara yang rakyat tolak kerana lain kawasan, lain keperluannya," katanya kepada Bernama.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata rakyat juga dapat melihat negeri yang jatuh kepada pembangkang, banyak ketinggalan dari segi pencapaian, sepanjang lima tahun kebelakangan ini.

"Matlamat kita mentadbir supaya tiada negeri yang tercicir. Sekarang saya lihat kesedaran sudah timbul. Rakyat dulu yang tiada parti tetapi menyokong pembangkang atas sebab-sebab tertentu, hari ini telah berubah. Hati kecil saya yakin Selangor dan Perak, kita boleh menang," katanya.

Rafidah berkata pembangkang tetap akan ada penyokong tegarnya maka BN harus berusaha keras supaya memperoleh lebih ramai penyokong.

"Calon sudah diumumkan dan saya gembira melihat terdapat keseimbangan antara calon berpengalaman dan calon baharu yang wajar diketengahkan. Dari dulu lagi pucuk pimpinan tahu keperluan meletakkan muka baharu.

"Saya sendiri bermula (dilantik sebagai calon BN untuk kerusi Parlimen)  pada usia 34 tahun di Selayang. Janganlah kita risaukan, mereka boleh dipertanggungjawabkan dan diharapkan oleh rakyat," kata Rafidah, yang merupakan bekas pensyarah ekonomi Universiti Malaya sebelum melibatkan diri dalam politik.

 

Dalam pada itu, Rafidah yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar selama tujuh penggal, berkata calon-calon muda ini akan dapat mengembleng tenaga dengan calon lama.

"Jadi, kesinambungan tidaklah terencat," katanya.

Sementara itu, Rafidah turut menafikan Pergerakan Wanita Umno tidak berpuas hati dan mempunyai isu terhadap pemilihan calon wanita untuk PRU13.  

"Saya nafikan sekeras-kerasnya Pergerakan Wanita Umno membantah. Wanita tak akan sekali-sekali cakap begitu. Datuk Seri Shahrizat sendiri tidak sepatah pun menentang atau bercakap. Yang bercakap ini secara individu, tetapi malangnya sebab beliau salah seorang pemimpin Pergerakan Wanita, orang anggap ini suara Wanita," tegas Rafidah.

Rafidah berkata ramai calon wanita terpilih kali ini, cuma ada antara mereka yang tidak begitu dikenali, terutama yang masih muda.

"Janganlah bila kita kata tentang calon wanita, kita cakap tentang batang hidung sendiri. Kita dah berbaya, berumur menjangkau 60-an, eloklah kita berehat," katanya.

- Bernama

ADS