Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

VIDEO | 3.55 min

JOHOR Pakatan Rakyat Johor kini mensasarkan kawasan pengundi Melayu dalam suasana kempen yang menjengah masuk ke pusingan kedua, untuk memadamkan persepsi anti-Melayu, khususnya ke atas parti DAP.

Malah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri besar sementara, Datuk Abdul Ghani Othman sejak sebelum penamaan calon lagi cuba menggambarkan kempen DAP sesuatu yang akan merosakkan keharmonian antara kaum di negeri itu.

Pakatan tidak boleh memandang mudah monopoli politik BN, selain kelemahan akar umbi dan jentera publisiti Pakatan serta imej anti-Melayu DAP, khususnya ke atas pemimpinnya Lim Kit Siang.

Lalu, DAP bersama PAS pada malam tadi menganjurkan ceramah yang bertemakan perlindungan Pakatan Rakyat ke atas Islam, institusi beraja dan Melayu di Taman Nusantara – satu kawasan dalam kawasan Gelang Patah.

Kawasan kediaman baru itu, yang banyak didiami penjawat awam yang bekerja di pusat pentadbiran Kota Iskandar dan juga golongan Cina yang bekerja di Singapura, termasuk dalam kawasan Nusa Jaya yang ditandingi naib presiden PAS Salahuddin Ayub.

Turut ditampilkan dalam ceramah kepada kira-kira 1,000 orang yang hadir itu ialah bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid tidak membuang masa untuk membantu memadamkan dakwaan anti-Melayu yang dilemparkan ke atas Lim.

“Saya sudah amat lama mengenali Kit Siang, di dalam dan di luar Parlimen.

“Saya kenal dia sebagai MP yang berani. Saya tidak pernah dengar dia menyerang Islam atau memperkecil-kecilkan pemimpin Melayu di Parlimen, tidak pernah,” kata Zaid.

Sebaliknya, Lim akan membangkitkan isu urustadbir, rasuah, katanya.

“Dulu, jika Mahathir (Mohamad) berjaya meyakinkan orang Melayu bahawa Kit Siang menentang hak orang Melayu, itu satu penipuan.

“Bagaimana dia boleh menentang hak yang diperuntukkan dalam perlembagaan persekutuan? Tidak boleh,” katanya.

ADS