Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suasana ceramah Pakatan Rakyat di Fohsang, Kota Kinabalu kecoh apabila Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan penyokongnya tiba-tiba menyerbu masuk ke barisan hadapan tempat duduk untuk bersemuka dengan seorang penceramah malam tadi.

Kemunculan Yong mendapat sorakan ‘bu' daripada penyokong Pakatan tetapi beliau hanya tersenyum sambil bersalaman dengan barisan penceramah Pakatan dan calon-calon yang bertanding.

Namun, suasana itu bertukar apabila suara Yong kemudiannya kedengaran meninggi lalu menarik perhatian ramai orang yang kemudiannya mengerumuni mereka.

NONE "Kamu tahu ini tidak benar," kata Yong kepada Ketua Biro Keselamatan, Imigresen dan Reformasi Pilihan Raya PKR Sabah Dr Chong Eng Leong selepas beliau tamat berucap.

Malaysiakini difahamkan, Yong merasa kurang senang setelah dimaklumkan Chong mengaitkan beliau dengan "Projek IC" dalam ceramah itu dan beliau mahu berdebat tetapi permintaannya ditolak penganjur.

Chong, pemimpin PKR Sabah, yang pernah menentang Yong dalam pilihan raya pada 1999 di Likas sebagai calon Parti Bersatu Sabah (PBS), kemudiannya membalas:

"Saya boleh tunjukkan kamu artikel berkaitan."

Terus dengar ceramah DAP, PKR

Suasana semakin tegang apabila Yong dilihat semakin merapati Chong, tetapi hasil kecekapan pihak polis mengawal keadaan, suasana yang tidak diingini berjaya dielakkan.

Kedua-dua mereka kemudiannya duduk secara bersebelahan.

Sementara itu, orang ramai dilihat semakin membanjiri tempat itu untuk menyaksikan apa yang berlaku.

NONE Sebelum itu, Yong yang bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Likas, terlibat dalam ceramah SAPP yang terletak hanya bersebelahan dengan ceramah Pakatan itu.

Selepas ketegangan itu, Yong bagaimanapun terus berada di majlis itu dan mendengar ceramah yang disampaikan oleh calon DAP untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayan D Edwin Bosi dan calon PKR DUN Api-Api Christina Liew.

Bagaimanapun, sepanjang masa itu, kerap kali kedengaran sorakan bu dan "debat" dari orang ramai.

Kehadiran orang ramai untuk majlis ceramah PR dan SAPP adalah hampir sama, iaitu kira-kira 1,000 orang.

Chong sebelum ini pernah bertanding menentang Yong, mantan ketua menteri Sabah untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada tahun 1999 tetapi kalah.

ADS