DAP: Ucapan Mohd Noor langgar Akta Hasutan

Setiausaha Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dan menggalakkan permusuhan kaum dalam satu ucapan semalam.

"Kenyataan yang diberi oleh bekas hakim ini menunjukkan sisi kegelapan sistem kehakiman negara yang mana sebelum ini sering dilaungkan bahawa sistem kehakiman negara sentiasa bebas.

"Sekarang kita boleh lihat dengan jelas pemikiran seorang hakim seperti Mohd Noor yang juga pernah menjadi hakim dan membuatkan Lim Guan Eng disabitkan di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta Akta Hasutan pada tahun 1997," katanya.

Beliau mengulas ucapan Mohd Noor dalam satu forum di Kuala Lumpur semalam, yang antara lainnya mendakwa masyarakat Cina mengkhianati setiakawan dengan orang Melayu.

Mohd Noor yang mengulas keputusan pilihan raya umum 5 Mei berkata: “Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi.

“...Bagi orang Melayu, pantang-larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah.”

Gobind berpendapat bahawa kenyataan berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948.

Selain itu, beliau juga melihat bahawa serangan ke atas masyarakat Cina yang tidak henti-henti sejak keputusan pilihan raya umum ke-13, menunjukkan kelemahan dan ketidakupayaan perdana menteri untuk bertindak.

Katanya, Perdana Menteri sebelum ini telah berulang kali berjanji untuk menjadi seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia di bawah konsep 1Malaysia – yang sepatutnya menjadi dasar untuk menghapuskan politik perkauman.

Bagaimanapun, Gobind berkata, beliau jelas beliau gagal mempertahankan rakyat Malaysia yang telah melaksanakan hak perlembagaan mereka dengan mengundi.

"Beliau telah gagal untuk menunjukkan rasa hormat dan menerima hakikat bahwa rakyat mempunyai hak untuk mengundi sesiapa yang mereka mahu tanpa takut terhadap ancaman atau paksaan.

"Apa yang paling membimbangkan ialah kerajaan Malaysia kini secara terbuka menggalakkan ancaman yang menyalahkan rakyatnya sendiri terutama kaum Cina.

"Ini salah dan mesti dihentikan. Perdana menteri mesti mengamalkan apa yang sebelum ini dia laungkan," katanya lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.