Mulai Rabu ini, teksi bandar dibenar memasuki Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata perkhidmatan teksi bandar itu akan beroperasi di aras satu bangunan Terminal Utama KLIA, manakala teksi limosin kekal beroperasi di aras tiga.
Dengan perluasan perkhidmatan di bawah sistem dua peringkat (limosin lapangan terbang dan teksi bandar), beliau yakin tempoh menunggu penumpang dapat dikurangkan dari 45 hingga 60 minit kepada 10 minit, terutama pada waktu puncak, selain mengurangkan masalah 'ulat' di KLIA.
"Kami perkenalkan perkhidmatan baharu ini kerana telah menerima banyak aduan dan runggutan daripada orang ramai yang terpaksa berbaris panjang dan menungggu lama untuk dapatkan teksi, lebih-lebih lagi pada waktu perayaan, cuti umum dan cuaca kurang baik.
"Kami yakin dengan sistem baharu ini, penumpang KLIA dapat perkhidmatan terbaik. Kami harap bayaran teksi bandar yang menggunakan meter lebih murah berbanding limosin yang menggunakan kupon," katanya pada sidang akhbar di Sepang, hari ini.
Syed Hamid berkata pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan teksi bandar, perlu membeli kupon RM2 dan caj selebihnya adalah mengikut meter.
Bayaran limosin lapangan terbang pula masih sama berdasarkan jarak perjalanan di bawah sistem kupon mengikut zon tertentu.
"Secara purata KLIA mengendalikan ketibaan 9.3 juta penumpang setahun dan 25,500 penumpang sehari, yang berpotensi untuk permintaan teksi. Kami anggarkan 11.4 juta ketibaan penumpang pada 2017. Jadi keperluannya (teksi) tinggi," katanya.
Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik teksi bandar yang gagal menggunakan meter atau kesalahan-kesalahan lain.
Mengenai anggaran teksi bandar yang akan memasuki KLIA mulai 15 Mei, Syed Hamid berkata ia bergantung kepada keperluan pengguna di lapangan terbang mengikut waktu dan hari.
- Bernama
