Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Pulai Sebatang wakil masyarakat Cina dalam exco Johor

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pulai Sebatang Datuk Tee Siew Kiong dilantik menganggotai barisan Exco kerajaan negeri Johor yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

Pelantikannya itu dititah oleh Sultan Johor yang mahukan masyarakat Cina diwakili di dalam barisan Exco kerajaan negeri di bawah teraju Menteri Besar yang baharu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya adalah wakil MCA dan juga anak Johor. Saya tidak mempunyai pilihan lain kerana ini (pelantikan) adalah titah Tuanku (Sultan Johor)," katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan hari ini.

Tee yang juga Ketua MCA Bahagian Pontian berkata MCA tidak pernah mengemukakan sebarang calon bagi jawatan Exco di Johor berikutan keputusan MCA pusat untuk menolak jawatan di peringkat persekutuan dan negeri selepas parti mencatatkan prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13.

Ditanya mengenai perasaannya dilantik sebagai Exco, beliau berkata "ia bercampur-campur".

Menurutnya di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, Sultan Johor berhak melantik mana-mana wakil rakyatnya untuk menganggotai barisan Exco kerajaan negeri.

Katanya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga telah dimaklum tentang titah Sultan Johor itu dan beliau bersetuju mengenai pelantikannya itu kerana Tuanku mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Datuk Seri Chua juga telah menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (selaku pengerusi Barisan Nasional) memaklumkan tentang perkara ini (pelantikan sebagai Exco oleh Sultan Johor)," katanya.

Tee yang akan memegang portfolio Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan berkata beliau akan berusaha bersungguh-sungguh bagi melaksanakan tugas sebagai anggota Exco.

Beliau yang berpengalaman luas sebagai pegawai Dr Chua ketika presiden MCA itu memegang jawatan Exco negeri Johor, juga akan berusaha memperkukuhkan perpaduan di antara rakyat pelbagai kaum di Johor sebagaimana diminta oleh Sultan Johor.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS