Kit Siang: Saya dah tonton ucapan 'perkauman' itu

Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang berkata, beliau telah menonton sendiri rakaman video yang memuatkan kenyataan kontroversi bekas hakim mahkamah rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah dan mendapati ia benar-benar bersifat perkauman.

dap special meeting 110313 lim kit siang"Saya telah menonton video ucapan Mohd Noor dan tidak tidak ragu lagi mengatakan ia ucapan yang paling memecah-belah, memudaratkan, bersifat perkauman dan berunsur hasutan pernah diucapkan di Malaysia dalam tempoh 44 tahun," katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Lim menyuarakan perasaan tidak senangnya terhadap pihak seperti Mohd Noor sebagai bekas hakim yang didakwanya "menaburkan racun perkauman" tetapi terlepas daripada hukuman.

Justeru, katanya, laporan Malaysiakini tentang perkara itu tidak berniat jahat dan bukan tidak profesional, malahan adil dan munasabah.

Sekumpulan NGO sebelum ini tampil mempertahankan Mohd Noor yang dikritik hebat pelbagai pihak ekoran kenyataan berhubung isu amaran "membalas dendam" orang Melayu jika dikhianati.

Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam kenyataannya mendakwa, laporan Malaysiakini berhubung perkara itu tidak tepat, berniat jahat dan bertujuan melaga-lagakan keharmonian dan perpaduan kaum.

Malaysiakini pada 12 Mei melaporkan Mohd Noor sebagai menyeru orang Melayu bertindak lebih agresif mempertahankan hak serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan pilihan raya umum 5 Mei.

Mohd Noor menyeru demikian kerana orang Cina didakwanya mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.

Beliau juga mempertegaskan amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati ekoran ia sebahagian daripada pantang larang kaum itu.

Mohd Noor malam tadi menjelaskan, beliau tidak bermaksud hendak berperang, sebaliknya menyarankan "transformasi daripada buruk kepada baik" apabila mengeluarkan pandangan kontroversi berhubung kuasa politik Melayu sebelum ini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.