Juanda antara 207 penerima pingat Perlis

Presiden Airod Sdn Bhd Tan Sri Ahmad Johan mendahului senarai 207 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis sempena ulang tahun ke-70 keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, hari ini.

Ahmad menerima darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Turut menerima SPMP ialah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Senarai penerima itu diumumkan Menteri Besar Perlis Azlan Man di Kangar hari ini.

Pengarah Corporate Client Solutions, CIMB Investment Bank Bhd, Syed Mashafuddin Syed Badarudin Jamalullail adalah penerima tunggal darjah Dato' Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSSJ) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Sebanyak 10 penerima darjah Dato' Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Mohd Zaki Abdul Wahab, Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron, Panglima 5 Briged, Brig Jen Datuk Ranjit Singh Ramday, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Omar Osman dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Turut menerima DPMP ialah Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Mohd Fazli Osman, Timbalan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Abdull Rashid Saad, isteri bekas Menteri Besar Perlis Datin Seri Asiah Asmuni, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Mohd Najib Abdullah dan Country Managing Partner, Earnst & Young Malaysia Level, Abdul Rauf Rashid.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Prof Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal adalah penerima tunggal darjah Dato' Paduka Tuanku Syed Sirauddin Jamalullail (DPSJ) yang juga membawa gelaran Datuk.

Dua menerima darjah Dato' Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang turut membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Penasihat Penerbitan Pekan Ilmu Publications Dr Rahman Shaari.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya adalah penerima tunggal darjah Dato' Bergelar yang membawa gelaran Datuk Murshid Diraja.

Sementara itu, Kolonel Logistik Markas Medan Tentera Darat, Kol Mohd Norbi Ismail adalah penerima tunggal Setia Mahkota Perlis (SMP) manakala 13 orang menerima Seri Sirajuddin Perlis (SSP) termasuk Pengarah Perhutanan Perlis Ridzuan Salleh, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Mohd Noordin dan penguambela dan peguamcara Jamil Mohamed Shafie.

Sebanyak 18 orang menerima Ahli Mahkota Perlis (AMP), 23 menerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), tiga menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 54 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 62 menerima Pingat Jasa Baik (PJB) dan 16 menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.