Menyantuni intelek generasi muda

ULASAN Memerhati senario pasca PRU ke-13, kata-kata negarawan aliran konservatif German, Otto Von Bismarck yang dipelajari sewaktu kuliah pertama politik antarabangsa di Universiti Malaya terus menerjah.

Pemimpin yang terkenal dengan diplomasi keseimbangan kuasa (balance-of-power) pernah berkata,"In politics, there are no permanent friends or foes, only permanent interests".

(Dalam kancah politik, kayu pengukur taulan dan lawan ditunjangi kepentingan.)

Sehingga kini kata-kata tersebut memberi dampak luar biasa dan menjadi pencetus perdebatan dalam kalangan rakan seangkatan, yang kini berlainan fahaman politik.

Ungkapan tersebut sering dilihat sebagai konotasi negatif kerana menjelmakan ajaran real politik Niccolo Machiavelli, bapa sains politik dunia Barat.

Namun jika diperhalusi, elemen keperluan, kepentingan, dan kehendak walaupun sering dipengaruhi evolusi zaman, masih menjadi nadi politik zaman moden, terutama dalam sebuah kerajaan demokrasi.

Selepas rakyat memberikan mandat pada PRU ke-13, yang menang mahupun yang kalah, mungkin dalam keadaan sedar atau tidak menjaja alasan berbaur rasisme.

Tsunami Cina, tsunami rakyat

Selain frasa popular "matlamat menghalalkan cara" yang dijadikan retorik di gelanggang siasah, dan media massa sepanjang PRU ke-13, muncul frasa ‘Tsunami Cina' yang dibalas dengan ‘Tsunami Rakyat'.

Lebih menarik, rakyat yang berkuasa menentukan hala tuju negara, termasuk 2.3 juta pengundi baru, masyarakat Cina dan segelintir Melayu digelar tidak mengenang budi, terlalu emosi, silap percaturan memilih pemimpin, dan terpengaruh dengan pujuk rayu.

Dalam konteks negara bangsa Malaysia, sejak zaman pemerintahan British yang mengaplikasikan kaedah divide and rule atau pecah dan perintah, rakyat dibelenggu polemik kepentingan survival bangsa.

Meneliti salasilah sejarah, bermula daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada awal 70-an, yang bertindak sebagai serampang dua mata untuk merapatkan jurang ekonomi dan mengeratkan integrasi, Dasar Pembangunan Nasional hingga ke Model Ekonomi Baharu, polemik tersebut masih berbekas dalam hati rakyat.

Walaupun pada asasnya, dasar yang dirangka kerajaan, bertujuan murni manambah baik status sosial dan ekonomi rakyat keseluruhan, sedikit sebanyak keyakinan dan keberanian bersaing dalam dunia tanpa sempadan masih menjadi tanda tanya.

Lantas, muncul golongan pertengahan terpelajar, middle class rata-rata di bandar yang bukan menyoal dasar, tetapi keberkesanaan, dan ketelusan aplikasi dasar.

Malah, golongan muda yang digelar "radikal" bertunjangkan kepentingan bersama, memilih haluan berbeza kerana mempunyai cara berbeza untuk merungkai belenggu tersebut.

Kalis api perkauman

Tuntasnya, generasi muda yang memilih untuk mendahulukan gelaran anak Malaysia (Malaysian) berbanding Melayu, Cina atau India tidak wajar dipalit gelaran Si Kitul atau didagang sebagai lupa daratan.

Apatah lagi, menggelarkan mereka tidak matang,dikuasai emosi atau terpengaruh dengan provokasi semata-mata. Mereka kekal menjunjung perlembagaan, bahasa Kebangsaan, agama rasmi dan menghargai perjuangan pemimpin lampau, di samping mengamalkan budaya warisan tersendiri.

Apa yang berbeza kini ialah ideosinkresi, memahami hak memilih, bersuara, berekspresi dan menilai amalan demokrasi.

Anak muda yang merantau jauh ke negara maju dan mundur, mengenali masyarakat kapitalis dan komunis, menganalisa hujah Socrates, Aristotle dan Plato tidak juga terkecuali mendalami falsafah Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan Al-Farabi.

Hasilnya, mereka kalis api perkauman, menjauhi gula-gula material dan mengiktiraf meritokrasi.

Maka rekonsiliasi nasional pasca PRU ke-13, jika benar diperlukan, wajar bermula dengan menyantuni intelek orang muda, perubahan pendekatan untuk memenuhi keperluan sebenar rakyat, kerana mandat diberikan oleh rakyat untuk rakyat.


MALARVILI MEGANATHAN bekas wartawan RTM, The Herald, Australia dan The Big Issue Afrika Selatan serta Graduan Pengajian Media dan Pengajian Strategik Antarabangsa Universiti Malaya. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.