Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan fakta yang salah dengan menolak kenyataan bahawa peguam negara tidak akan mendakwa bekas hakim Datuk Mohd Noor Abdullah yang didakwa pernah membersihkan namanya, kata bekas pegawai kanan polis.
"Saya kesal apabila Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Abu Kassim Mohamed menggunakan fakta yang salah.
"Saya bimbang beliau jadikan perkara ini lebih rumit," kata bekas ketua jabatan siasatan jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim dalam kenyataan hari ini.
Beliau sebelum ini berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan mendakwa Mohd Noor atas tuduhan hasutan ekoran kenyataan kontroversinya berhubung kuasa politik Melayu sebelum ini.
Mat Zain mendakwa, Mohd Noor terlibat membersihkan nama Gani dan dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dari perbuatan jenayah dalam "insiden mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abu Kassim pula dalam kenyataan selepas itu menafikan dakwaan pelantikan Mohd Nor sebagai pengerusi jawatankuasa aduan SPRM ekoran tindakan 'membalas budi' ekoran pendiriannya ketika menganggotai panel bebas siasatan.
