Pakatan Rakyat Selangor bersetuju supaya Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor untuk mendapatkan perkenan baginda supaya dikekalkan nisbah lama komposisi kaum untuk lantikan exco negeri, iaitu lima Melayu dan lima bukan Melayu.
"Bagaimanapun, sekiranya DYMM Sultan tetap dengan pendiriannya, maka MB wajar menerimanya dan akur dengan kehendak DYMM Sultan.
"Sekiranya ini berlaku, maka DAP akan diminta menerima tawaran speaker dan 3 exco sambil tawaran 4 exco akan diserah kepada PAS," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad.
Menulis dalam blognya , Khalid berkata, menteri besar akan mengadap Sultan dan membawa cadangan pembentukan exco seramai sepuluh orang.
Menurutnya lagi, pada masa yang sama, mereka difahamkan bahawa Sultan ingin melihat exco terdiri dari 6 Melayu dan 4 bukan-Melayu.
Berdasarkan keadaan semasa, Khalid berkata, berbanding nisbah 5:5 sebelum ini, keadaan kali ini berbeza apabila jumlah kerusi majoriti Melayu yang memihak kepada Pakatan bertambah.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu agak sukar dilakukan memandangkan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP bukan Melayu.
"...dan ini akan menyulitkan PKR. PKR terpaksa melantik semua exco Melayu dan ini akan menjadi masalah bagi PKR kerana mereka juga mempunyai ahli dan penyokong bukan Melayu yang ramai," katanya merujuk kepada nisbah pembahagian yang dipersetujui, iaitu 4:3:3.
Khalid juga berkata, Pakatan Selangor juga bersetuju, parti yang mendapat jawatan menteri besar dan speaker akan diberikan tiga kerusi exco.
