Kerajaan negeri merangka tiga komponen dalam cadangan pelan tindakan penempatan untuk penduduk yang terlibat secara langsung dalam projek empangan hidro Murum di Sarawak, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Taib, yang juga menteri perancangan sumber dan alam sekitar, berkata ia termasuk bayaran pampasan dan pemulihan kehidupan berdasarkan undang-undang dan peraturan tempatan, membasmi kemiskinan dan pembangunan yang akan dibiayai kerajaan negeri atau persekutuan di bawah pelan pembangunan lima tahun.
"Kami tahu bahawa halangan terbesar untuk rakyat yang terlibat secara langsung ialah ketidakpastian dalam cadangan penempatan semula dan bagaimana cadangan itu boleh berjaya," katanya pada majlis makan malam sempena perasmian Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa Kuasa Hidro (IHA) 2013, yang pertama kali diadakan di Asia, di Kuching malam tadi.
Beliau berkata penduduk yang terlibat secara langsung perlu bekerja keras untuk berjaya dan mewujudkan masyarakat yang makmur.
Beliau berkata satu daripada penemuan penting yang diperoleh daripada kajian taksiran etnografi mengenai Penan sebagai sebahagian daripada kesan penilaian sosial dan alam sekitar (SEIA) untuk empangan Murum, yang kini 80 peratus siap, ialah peralihan kepada cara hidup baharu memerlukan bantuan teknikal dan lain-lain.
Taib berkata adalah jelas, bahawa strategi di Sarawak ialah untuk membangunkan kuasa hidro bagi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat tempatan.
"Soalan yang sering ditanya mengenai Sarawak ialah sama ada kami benar-benar memerlukan banyak tenaga, terutama apabila kami memberitahu dunia bahawa kami mempunyai potensi jangka panjang kuasa hidro 20,000 megawatt yang boleh dibangunkan, 5,000 megawatt lagi loji arang batu dan mungkin 3,000 megawatt lagi dalam bentuk tenaga lain seperti biofuel," katanya.
Bagaimanapun, permintaan hakiki sektor domestik dan komersial lebih sedikit daripada 1,000 megawatt.
Beliau berkata projek hidro Bakun ditangguh berikutan krisis kewangan Asia pada 1977 tetapi ia berjaya membekalkan elektrik kepada pelanggan pertamanya pada April tahun ini.
Sementara itu, beliau berkata ia adalah satu penghormatan bagi Sarawak untuk menjadi tuan rumah kepada kongres dunia keempat IHA, yang dibentuk pada 1995 di bawah naugan Unesco untuk menangani masalah strategi teknikal, sosial, alam sekitar dan kewangan yang menjejaskan pembangunan sumber kuasa hidro dunia.
Turut hadir presiden IHA Dr Refaat Abdel-Malek dan delegasi dari 60 negara seluruh dunia.
- Bernama
