Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Wujud unsur jenayah dalam kematian tahanan di lokap IPK KL
Diterbitkan:  May 22, 2013 5:31 PM
Dikemaskini: 4:04 PM

dikemaskini Kematian seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) semalam selepas mengadu sakit dada, didapati mempunyai unsur jenayah, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

   

"Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi menunjukkan terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian tahanan tersebut," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

   

Beliau berkata polis Kuala Lumpur merujuk kes itu ke Bukit Aman dan menerima arahan agar ia diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk tujuan penyiasatan.

   

Pegawai penyiasat jenayah Bukit Aman akan dilantik untuk menjalankan siasatan lanjut kes itu, katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang tahanan mati selepas mengadu sesak nafas di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur malam tadi.

Laporan itu memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah sebagai berkata lelaki itu mengadu sakit dada kira-kira 9 malam sebelum dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapat rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Beliau berkata tahanan berusia 32 tahun itu adalah salah seorang daripada empat suspek yang ditahan berhubung kes tembak di Bandar Tun Razak, Cheras pada 11 Mei lepas.

Mayat lelaki itu dibedah siasat di HKL, kata Ku dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ku berkata polis menyambung tempoh reman suspek kedua yang ditahan berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim bulan lalu.

"Tempoh reman disambung sehingga Isnin ini dan kesnya dijangka mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan," katanya.

Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS