Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu guru-guru di Sarawak merangka penyelesaian praktikal bagi mengatasi budaya narsisisme atau sikap mengagumi diri sendiri yang mula bertapak di kalangan generasi muda.
Beliau berkata belia pada hari ini telah banyak dipengaruhi oleh kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi dan mereka akan meluahkan perasaan secara bebas kepada orang yang tidak dikenali.
"Mereka tidak lagi menganggap diri mereka sebagai satu bahagian penting dalam masyarakat dan negara mereka sendiri.
"Mereka sebenarnya menganggap diri mereka sebagai warga global yang membuatkan mereka mempunyai sikap mementingkan diri sendiri," katanya semasa melancarkan sambutan Haru Guru 2013 peringkat negeri di Pusat Sivik, di Kapit hari ini.
Taib berkata belia hari ini mempunyai keyakinan yang tinggi dalam diri mereka dan berani berkongsi maklumat dengan rakan-rakan mereka dari seluruh dunia serta benci diperintah dan tidak mahu memimpin.
"Ini adalah masalah yang melanda golongan muda di negara-negara maju di seluruh dunia. Di negara ini, kita perlu mengelak gejala ini," katanya.
Dalam hal ini, beliau mencadangkan bahawa guru-guru menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk menggalakkan interaksi sosial di sekolah dan dalam kalangan ahli persatuan ibu bapa dan guru.
"Pelajar harus dianggap sebagai rakan kongsi korporat supaya mereka akan bermotivasi untuk menghabiskan lebih banyak masa di sekolah untuk aktiviti-aktiviti interaksi dan bukannya pada interaksi dalam Internet.
"Berikan penekanan serta aktiviti luar untuk memupuk komunikasi sosial dengan masyarakat," katanya.
Taib berkata kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak akan mempertimbangkan anugerah khas mulai tahun depan kepada pelajar yang cemerlang dalam hubungan antara perseorangan dan kemahiran berkomunikasi.
Taib kemudian menyampaikan anugerah Tokoh Guru Sarawak 2013 kepada Mohamed Zain Abang Ismail dari Sibu dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Sarawak 2013 kepada Datuk Seri Michael Manyin.
Manyin merupakan bekas guru dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi negeri.
- Bernama
