Tidak ada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) kerana kini sudah ada mekanisme untuk membuat aduan terhadap polis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.
Low berkata, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) - sebuah badan pengawasan bebas terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang - juga menyiasat aduan salah laku oleh anggota polis.
"Kita sudah ada saluran tersebut," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Berikutan itu, Low menggesa keluarga N Dharmendran yang mati dalam tahanan pada 21 Mei supaya membuat laporan kepada EAIC supaya siasatan bebas boleh dimulakan.
Low mengakui mungkin orang ramai keliru agensi mana yang mereka harus mengadu, dan oleh itu beliau berjanji akan berusaha menubuhkan pusat bersatu menerima aduan, yang kemudiannya akan menyalurkan aduan tersebut kepada agensi berkaitan.
Beliau berkata, ini juga akan membantu dalam kes-kes di mana pengadu "tidak selesa" untuk membuat aduan kepada pihak polis.
Low juga berjanji untuk membawa cadangan Majlis Peguam bagi penubuhan Mahkamah Koroner kepada menteri yang menjaga hal-ehwal undang-undang, Nancy Shukri.
"Ini boleh menyediakan (pendengaran) yang adil untuk kedua-dua pihak - polis dan mangsa," katanya.
Beliau menambah, dalam kes Dharmendran itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi jaminan kepadanya untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan adil.
