Akta Pasport 1966 tidak mempunyai peruntukan bagi pembatalan pasport Malaysia seperti yang didakwa oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Alias Ahmad, kata para peguam.
"Selepas meneliti Akta Pasport, saya tidak dapat mencari peruntukan mana yang membolehkan (Imigresen membatalkan pasport)," kata peguam Syahredzan Johan (kiri).
Malah, katanya, beliau tidak tahu adanya sebarang undang-undang yang membolehkan kerajaan membatalkan pasport Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, terdapat undang-undang individu yang memperuntukkan kuasa untuk menghalang individu daripada meninggalkan Malaysia, contohnya, di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 1997 dan Akta Kebankrapan 1967, dan juga mereka yang diikatjamin berkaitan kesalahan jenayah.
Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, Syahredzan bagaimanapun menegaskan bahawa akta-akta tersebut hanya melarang individu keluar negara ini, tetapi bukan membatalkan pasport Malaysia yang sah.
David Matthews, seorang pakar dalam bidang tersebut, berkata sekatan ke atas individu di bawah undang-undang yang berasingan itu, bagaimanapun, tidak boleh dilakukan secara pentadbiran oleh ketua pengarah (KP), tetapi mesti melalui suatu perintah mahkamah.
Menurutnya, Akta Pasport merupakan satu undang-undang pentadbiran dan tidak berurusan tentang kewarganegaraan dan lain-lain.
Ketika dihubungi, David berkata, ia hanya membolehkan KP mengeluarkan bukan warganegara yang memasuki Malaysia secara haram, dan tidak terpakai kepada rakyat tempatan.
Beliau berkata KP boleh berhujah bahawa di bawah Seksyen 12D akta tersebut, beliau boleh diberikan kuasa oleh menteri, tetapi ini lebih merujuk kepada perkara-perkara dasar.
Tetapi, tambahnya, apa-apa arahan seumpama itu hendaklah munasabah dalam erti kata undang-undang pentadbiran dan juga adil.
'Mencemarkan imej negara di luar negara', tambahnya, adalah samar-samar dan tidak boleh dijadikan sebab untuk membatalkan pasport.
Dalam soal pembatalan kewarganegaraan, katanya, ini adalah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi hanya boleh diguna jika seseorang warganegara itu melakukan perkara-perkara yang membatalkan kewarganegaraannya.
Katanya, ini termasuk perkara-perkara seperti menerima kewarganegaraan negara lain atau melaksanakan hak-hak rakyat negara lain, seperti mengundi.
"Tetapi ia bukan pembatalan per se. Seseorang itu tidak boleh
dinafikan hak kewarganegaraan," katanya.
Beliau menambah, jika 6,564 orang yang disebut itu, didakwa di negara asing, maka mereka akan menghadapi hukuman undang-undang di sana.
Semalam, Alias ​(kanan) dipetik oleh Berita Harian sebagai berkata, jabatan itu akan membatalkan pasport Malaysia 6,564 rakyat Malaysia, antaranya kerana "mencemarkan imej Malaysia di luar negara".
Alias memberitahu akhbar tersebut bahawa ini selaras dengan Akta Pasport, tetapi tidak menyatakan secara khusus seksyen Akta tersebut.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata undang-undang itu hanya membenarkan kerajaan menghalang rakyat Malaysia daripada keluar negara, dan bukan menghalang mereka memasuki Malaysia.
Pada hari Isnin, beliau telah dilaporkan oleh Berita Harian sebagai berkata rakyat Malaysia yang memprotes di luar negara boleh dihalang daripada pulang dan pasport mereka boleh dibatalkan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963.
Menurut Matthews, adalah mengejutkan bagi Alias berkata demikian kerana ia menunjukkan satu kejahilan undang-undang.
Seluruh seksyen itu merujuk kepada pendatang, kata Mathews sambil menambah bahawa cara Alias beralih dari satu akta kepada yang lain, menunjukkan beliau tidak tahu apa yang dicakapkannya.
Seksyen 8, Akta Imigresen menyatakan bahawa KP Imigresen boleh
mengklasifikasikan mana-mana bukan warganegara sebagai pendatang yang dilarang, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 8 (3) akta yang sama, dan melarangnya daripada memasuki negara ini.
Dalam satu kes, kerajaan telah membatalkan pasport pemimpin Hindraf - yang kini menjadi timbalan menteri, P Waythamoorthy - memaksanya ketika itu hidup dalam buangan di London.
Agensi Sempatan United Kingdom, dalam jawapan bertulis kepada permohonan peguam Waythamoorthy di bawah Akta Kebebasan Maklumat, berkata pasport itu "dibatalkan kerana pihak berkuasa Malaysia mahu menangkap Waythamoorthy untuk menghadapi tuduhan jenayah."
Malaysiakini telah berulang kali cuba menghubungi Alias untuk mendapatkan penjelasan mengenai seksyen Akta Pasport yang mahu digunakan untuk membatalkan pasport, tetapi belum berjaya menghubungi.
[Baca berita penuh]
