Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad telah menafikan satu laporan berita yang menyebut beliau sebagai memetik Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 atau Akta Pasport untuk menyokong keputusan untuk membatalkan pasport rakyat Malaysia yang telah disenaraihitamkan.
Bercakap kepada
Malaysiakini
, Alias berkata beliau telah disalah petik oleh akhbar berbahasa Melayu
Berita Harian,
dan akhbar itu akan membuat pembetulan tidak lama lagi.
"Laporan itu tidak benar dan tidak tepat sama sekali. Saya juga tidak menyebut Akta-akta tersebut ketika bercakap kepada wartawan.
"Saya bukan pakar undang-undang tetapi saya tahu undang-undang yang Imigresen gunakan dan adalah jelas bahawa Seksyen 8 Akta Imigresen hanya terpakai kepada bukan warganegara," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, katanya, pihak Imigresen memang akan mengambil tindakan membatalkan pasport 6,564 rakyat Malaysia yang telah disenaraihitamkan.
Katanya, atas nasihat pihak polis dan Wisma Putra, dan disokong oleh kes perundangan yang mengatakan kerajaan mempunyai kuasa untuk membatalkan pasport.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk membatalkan pasport itu dilakukan secara adil dan sebahagian besarnya akan hanya membabitkan mereka yang disabitkan di luar negara.
"Mereka kebanyakannya adalah yang disabitkan dengan jenayah berkaitan dadah atau jenayah lain, serta mereka yang melanggar undang-undang imigresen di luar negara. Tidak hanya mereka yang menyertai demonstrasi di luar negara," katanya.
Tetapi, katanya, dua rakyat Malaysia di mana visa kerja mereka di Singapura dibatalkan selepas menyertai demonstrasi di sana, telah didapati bersalah melanggar undang-undang imigresen (Singapura)," katanya.
Hakim: Kerajaan mempunyai budi bicara
Merujuk kepada penghakiman kes Kerajaan lwn Loh Wai Kong pada 1979, beliau berkata, kerajaan mempunyai hak untuk "mengeluarkan, tidak mengeluarkan, melambatkan pengeluaran atau membatalkan pasport".
"Ini adalah mengikut budi bicara kerajaan. Pasport adalah milik kerajaan," kata Alias.
Dalam penghakiman itu, panel lima hakim mendapati bahawa Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kepada rakyat "hak kepada pasport ".
Menurut penghakiman itu, kerajaan mempunyai budi bicara sama ada untuk tidak mengeluarkan, melambatkan pengeluaran atau menarik balik pasport, misalnya, jika tuduhan jenayah yang belum selesai terhadap pemohon.
