Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lantik saya penghormatan pada golongan India miskin'
Diterbitkan:  Jun 5, 2013 10:56 AM
Dikemaskini: 7:23 AM

Pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy yang baru mengangkat sumpah sebagai senator Dewan Negara hari ini menyifatkan pelantikannya sebagai penghormatan kepada perjuangan golongan India yang miskin dan 'mereka yang tidak mempunyai suara'.

"Saya berazam melakukan yang terbaik. Ini adalah satu penghormatan kepada perjuangan India miskin di Malaysia.

"Perjuangan kita begitu panjang dan kita telah begitu lama berjuang.

"Ini peluang keemasan bagi suara mereka yang tidak mempunyai suara untuk didengari," katanya ringkas sewaktu ditemui pemberita di Dewan Negara pagi ini.

Beliau hanya bercakap selama kira-kira tiga minit kepada pemberita dan memberitahu tiada sebarang ulasan lain berhubung pelantikannya.

Sewaktu dihentikan wartawan sekali lagi ketika mahu menaiki lif, Waythamoorthy hanya tersenyum simpul ketika diminta mengulas kes hasutan abangnya, P Uthayakumar yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada masa sama beliau mengangkat sumpah.

Penyokong-penyokong beliau yang hadir pula ketawa kecil ketika beliau diminta mengulas perkara itu.

Turut mengangkat sumpah bersama Waytha Moorthy adalah bekas ketua pegawai eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Di Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Jam 4.30 petang ini kedua-duanya akan mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pula di hadapan Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara.

ADS