Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah mangsa tertimbus disemadi di Bukit Merah

Jenazah Tajudin Zainal Abidin, 45 yang ditemui mati di dalam runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang Batu Maung yang dalam pembinaan di George Town akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 39, Bukit Merah, Perak.

    

Balu Allahyarham, Shariffah Ramli, 40, berkata jenazah suaminya akan disemadikan malam ini juga selepas segala urusan selesai.

    

Mayat Tajudin ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu keretanya yang remuk akibat dihempap runtuhan tanjakan konkrit semalam.

    

Shariffah yang ditemui media di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) berkata suaminya menghubungi anak perempuan sulung mereka pada pukul 6.30 petang dengan janji membeli aiskrim di Medan Selera Pantai Seagate, Batu Maung, sebelum pulang ke rumah mereka di Permatang Damar Laut.

    

Bagaimanapun, beliau mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kerana suaminya gagal tiba di rumah mereka kira-kira dua jam kemudian selain panggilan ke kedua-dua nombor telefon milik Allahyarham tidak berjawab.

    

Susulan itu beliau keluar mencari suaminya di medan selera berkenaan dan mendapati keadaan jalan sesak teruk akibat insiden runtuhan tersebut.

    

"Lepas itu saya lihat laporan di televisyen mengatakan ada kereta Perodua Kelisa dengan sebahagian nombor plat yang telah  remuk serupa dengan suami saya tertimbus dalam runtuhan itu. Masa itu saya mula rasa tidak sedap hati walaupun laporan itu  mengatakan ada empat orang dalam kereta itu," katanya

    

Shariffah berkata beliau hanya mendapat pengesahan mengatakan mangsa yang terlibat adalah suaminya pada tengah hari tadi.

    

Tajuddin yang bekerja sendiri meninggalkan dua anak Nur Ain Maisara dan Nur Aina Syazwani masing-masing berusia 7 dan 11 tahun.

    

Sementara itu Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik HPP, Datuk Dr Bhupinder Singh berkata kematian Tajudin berpunca daripada kesesakan nafas.

    

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia serta-merta sejurus insiden itu berlaku selain turut mengalami kecederaan di kedua belah kaki dan patah tulang kedua belah tulang rusuk," katanya menambah bedah siasat bermula pukul 10 malam dan selesai pada jam 11.40 malam.

    

Terdahulu pada kejadian 7.15 malam semalam, dua bahagian konkrit iaitu 180 ton konkrit keras dan 100 ton konkrit lembut runtuh secara tiba-tiba.

- Bernama

ADS