Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, penembusan jalur lebar nasional yang berada pada kadar 60 peratus, pelaburan besar dalam bidang pendidikan serta liberalisasi sektor pengajian tinggi telah melahirkan kelas menengah yang semakin vokal dan endah hak.
"Kerajaan perlu kreatif dan inovatif dalam menguruskan realiti baharu ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.
"Kelas menengah yang semakin asertif dan mahukan lebih rundingan di dalam penggubalan dasar-dasar nasional yang menyentuh hala tuju masa depan mereka perlu dijadikan sebahagian daripada penyatuan nasional yang akan membentuk semula Malaysia."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013 dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012 di Kuala Lumpur, malam tadi.
Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan Najib sebagai berkata, Malaysia sedang melalui transisi daripada negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi kepada negara maju dengan ekonomi berteraskan perkhidmatan moden dan berpendapatan tinggi.
Mengulas lanjut, beliau berkata proses itu mengubah kehidupan rakyat yang kini majoritinya tinggal di kawasan bandar serta peningkatan pendapatan yang menurunkan kadar kemiskinan berbanding semasa merdeka.
