Balu kepada N Dhamendran mahu tindakan diambil terhadap Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah kerana kenyataannya tentang kematian mendiang dalam tahanan polis.
Marry Mariay Susay (
kiri
,
bersari biru
) merujuk kepada kenyataan Ku pada 22 Mei yang berbeza dengan laporan bedah siasat Hospital Kuala Lumpur.
Menurutnya, Ku dilaporkan mengaitkan kematian mendiang berpunca daripada sakit dada dan sesak nafas sedangkan pakar patologi mengatakan suaminya mati akibat dipukul dalam tahanan.
"Saya dan keluarga percaya kenyataan beliau dibuat dengan niat jahat untuk menutup kes pembunuhan suami saya," kata Marry dalam aduannya kepada Bukit Aman.
Beliau membuat aduan kepada urus setia integriti (tatatertib) Bukit Aman pagi tadi.
Laporan itu diterima ASP Ramia Kanabathi dari unit rekod pengaduan urus setia KPN tatatertib Bukit Aman.
Dhamendran ditemui mati dalam lokap pada 22 Mei lalu.
Enggan lapor EAIC, dakwa tiada taring
Tiga orang anggota polis telah dituduh membunuh beliau sementara seorang lagi suspek berpangkat inspektor masih tidak dapat dikesan.
Menemani Marry pagi tadi adalah peguam G Sivamalar yang bertindak bagi pihak keluarga Dhamendran.
Menurut Sivamalar, mereka akan menghubungi Bukit Aman dalam masa seminggu lagi untuk mendapat maklum balas tentang aduan mereka.
"Ini adalah salah laku polis bagi seorang pegawai kanan polis.
"Jadi kami mahu polis menyiasat perkara ini dan pegawai polis berkenaan diberikan pengajaran," katanya.
Menurutnya lagi, mereka tidak bercadang memajukan aduan itu kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk disiasat kerana badan itu dilihat tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk menangani insiden kematian Dhamendran.
"EAIC ini tiada taring dan tiada kuasa," katanya.
