Kerajaan akan mengambil alih Lok Ann Hotel kerana pemiliknya, Chip Ann Realty Sdn Bhd (CAR), telah menolak jumlah gantirugi yang ditawarkan oleh Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp).
Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pegawai eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul berkata, beliau tidak faham mengapa CAR menolak ganti rugi yang ditawarkan, yang dipersetujui pada asas sama yang ditawarkan kepada pemilik tanah yang lain.
Azhar berkata pemilik tujuh hartanah telah memeterai Perjanjian Bersama (MA), termasuk Yan Keng Benevolent Dramatic Association, yang pada asalnya menolak MA itu.
Beliau berkata gantirugi dan terma lain MA berkenaan adalah adil dan saksama.
Sebanyak 23 hartanah di sepanjang Jalan Sultan terletak di atas terowong yang akan dibina untuk Laluan MRT Sungai Buloh–Kajang.
Hartanah itu juga pada asal sepatutnya diperoleh secara wajib di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Bagaimanapun, MRT Corp bercadang mengalihkan pengambilan tanah itu menerusi MA.
Di bawah perjanjian berkenaan, para pemilik akan terus memiliki hartanah mereka dan pada masa yang sama membenarkan terowong MRT dibina di bawahnya.
Setakat ini, para pemilik tujuh hartanah itu telahpun memeterai MA sementara dua lagi hartanah telah dimiliki tanpa bantahan daripada pemiliknya.
Baki pemilik, dengan pengecualian CAR, pada masa ini sedang memuktamadkan terma-terma MA itu.
Menjelang Julai, kedekatan bangunan-bangunan dengan stesen MRT berpotensi memberikan "durian runtuh" kepada perniagaan di kawasan itu.
"Saya tidak lihat bagaimana CAR fikir mereka berbeza dengan yang lain dan mereka seharusnya diberikan layanan istimewa," kata Azhar.
Berdasarkan kepada penilaian sama yang diformulasikan oleh penilai persendirian, para pemilik yang mengadakan rundingan MA itu telah ditawarkan antara RM100,000 dan RM800,000 bergantung kepada nilai hartanah masing-masing.
CAR telah ditawarkan RM680,000.
"Saya tidak boleh mewajarkan dengan membayar mereka jutaan ringgit yang mereka tuntut. Mungkin ganti rugi daripada pengambilalihan tanah mereka akan padan dengan jumlah yang mereka mahukan," katanya.
Azhar berkata CAR sentiasa enggan berunding dengan MRT Corp mengenai MA itu, yang sekiranya ditandatangani, akan membolehkan MRT Corp mengemukakan kepada kerajaan untuk menghentikan proses pengambilan tanah dan membina terowong MRT di bawah hartanah itu.
Beliau berkata, MRT Corp tidak pernah berhasrat mengambil hartanah di Jalan Sultan diambil kerana ia hanya memerlukan sebahagian sahaja kawasan bawah tanah bangunan untuk terowong MRT.
"Apa yang akan dibuat oleh kerajaan dengan hartanah itu sekiranya ia diambil?Itulah sebabnya kami mencadangkan MA itu pada 2011.
"Sejak itu, kami sentiasa terlibat dengan pemilik yang tanah mereka terbabit di Jalan Sultan dan mereka begitu menerima dengan pendekatan ini," kata Azhar.
Azhar berkata MRT Corp telah banyak berusaha cuba memujuk pemilik hartanah di Jalan Sultan mengenai hasratnya, mengadakan pertemuan dengan pelbagai kumpulan untuk menjelaskan mengenai kerja-kerja yang dilakukan di kawasan itu.
"Kami kini boleh meneruskan, bergerak ke hadapan dengan melantik kontraktor melaksanakan kerja-kerja pengukuhan bangunan.
"Bukan sahaja pemilik terus memiliki harta mereka, malah bangunan mereka akan lebih kukuh berbanding sebelumnya. Bangunan mereka akan lebih selamat dan dilindungi," kata beliau.
- Bernama
