Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM mohon pindaan untuk terus siasat pemilikan harta individu disyaki

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu kerajaan memberi kuasa kepadanya untuk mendapatkan perisytiharan harta daripada individu yang disyaki tanpa perlu pembuktian wujudnya kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) untuk membuat pindaan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 bagi membolehkan suruhanjaya itu mendapat kuasa tersebut.

    

Pada masa ini suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa untuk meminta sesorang mengisytiharkan harta tanpa ada siasatan ke atas kesalahan rasuah terhadap individu terbabit, katanya.

    

Beliau berkata demikian pada majlis Dialog Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama lebih 30 Editor daripada pelbagai agensi media di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.

    

"JKMR berpandangan inisiatif tersebut jika dilaksanakan boleh memberi impak positif kepada kerajaan dan seterusnya menambah keyakinan masyarakat terhadap SPRM," katanya sambil menambah syor tersebut telah dibuat dalam laporan tahunan JKMR pada 2011, yang dianggotai anggota Parlimen parti kerajaan dan pembangkang.

    

JKMR merupakan salah satu dari lima panel khas yang diwujudkan pada Januari 2009 sebagai mekanisme 'sekatan dan imbangan' ke atas perjalanan SPRM.

    

Empat panel lain ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

    

Abu Kassim berkata JKMR juga mencadangkan kerajaan mencari mekanisme terbaik sama ada dari segi perundangan atau prosedur untuk menangani situasi 'betul dari aspek undang-undang tetapi salah dari aspek moral'.

    

Sehubungan itu, beliau berkata SPRM memerlukan sokongan menyeluruh semua pihak termasuk mengadakan peruntukan baharu dan berkesan bagi memperkasa usaha membanteras jenayah rasuah di negara ini.

    

"Jika tidak diberi kuasa yang lebih berkesan, usaha-usaha membanteras rasuah tidak akan membuahkan impak yang mendalam.

    

"Kita perlu bersama, tidak kira ideologi politik, rasuah adalah jenayah. Kalau undang-undang tidak cukup, kita perlu buat pindaan, kita perlu sokong," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS