Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramadan: K'jaan Thai, Barisan Revolusi setuju kurang operasi

Mesyuarat keempat Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai Mengenai Selatan Thailand (JWG-PDP) bersetuju untuk mengurangkan tindakan operasi sepanjang bulan Ramadan bulan depan dengan tujuan mengurangkan kehilangan nyawa di wilayah selatan negara itu.

    

Sekretariat JWG-PDP dalam kenyataan semalam berkata pada dasarnya kedua-dua pihak mencapai persetujuan tersebut selaras dengan semangat Ramadan dan membuktikan keikhlasan, niat murni dan sikap saling percaya antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN).

    

"Perincian berkaitan terma dan syarat untuk mencapai situasi bebas keganasan di selatan Thailand semasa bulan Ramadan akan disediakan secepat mungkin," menurut kenyataan itu.

    

Dalam mesyuarat di ibunegara, delegasi kerajaan Thailand diketuai Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Leftenan Jeneral Pharadorn Pattanatabut manakala Ketua Pejabat Perhubungan BRN di Malaysia, Hassan Taib mengetuai delegasi kumpulan pemisah itu.

    

Bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim bertindak sebagai fasilitator bagi pihak kerajaan Malaysia.

    

Kenyataan itu menyebut pihak BRN akan menyediakan penjelasan terperinci berkaitan lima tuntutan yang telah diserahkan kepada kerajaan Thailand dan sebaik menerima penjelasan berkenaan, pihak kerajaan Thailand komited untuk menyediakan maklum balas kepada BRN melalui fasilitator pada tarikh seawal mungkin.

    

Ia juga menyebut sesi keempat JWG-PDP dilaksanakan dalam suasana positif dan mesra di mana kedua-dua pihak menunjukkan komitmen masing-masing kepada proses perdamaian dan optimistik untuk mencapai kemajuan.

    

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk bertemu lagi selepas bulan Ramadan," kata kenyataan itu.

    

Pada Mac lepas, Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra telah meminta Malaysia membantu negara itu dalam menangani keganasan di wilayah selatan negara itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS