Kerajaan Pulau Pinang akan memberi bantuan kewangan kepada mangsa ribut yang melanda beberapa bahagian pulau dan tanah besar, menyebabkan dua maut dan beberapa orang lagi cedera malam tadi.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pentadbirannya sedang menilai
situasi dan juga akan memberi bantuan kepada pemilik rumah yang bumbungnya telah diterbangkan angin kencang.
"Kita merasa sedih dan amat bersimpati dengan kepada mereka yang terjejas dan berharap mereka atau keluarga mereka dapat bersabar sementara kita menguruskan perkara itu," kata Lim dalam satu sidang akhbar di Jalan Macalister.
"Bagi mereka yang bumbung rumah diterbang angin, kita menggesa mereka membuat laporan polis. Jabatan kebajikan kita juga sedang menilai keadaan," katanya.
Ribut kuat yang bermula sekitar jam 6.55 petang telah turut
meruntuhkan tiang penebat petir di atas bumbung bangunan Umno negeri di Jalan Macalister.
Laporan awal merujuknya sebagai menara antena tetapi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kemudiannya menjelaskan bahawa ia adalah tiang penebat petir.
Lori pemandu Jahir Hussain Sulaiman, 46, meninggal dunia selepas terhempap serpihan tiang tersebut, manakala lima lagi cedera dan beberapa kenderaan turut rosak.
