Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undang-undang sedia ada cukup kuat dari syor IPCMC

Undang-undang sedia ada sudah cukup kuat untuk menangani aduan berkaitan salah laku anggota penguatkuasaan di negara ini, daripada apa yang disyorkan dalam cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah melaksanakan undang-undang sedia ada itu daripada terus membincangkan penubuhan IPCMC.

"Kita mempunyai undang-undang sedia ada dan telah diluluskan di Parlimen, perlu dilaksanakan undang-undang tersebut dan ia lebih kuat daripada apa yang ada dalam IPCMC," katanya kepada pemberita pada majlis Konvokesyen Kolej Intelek Putra di Putrajaya hari ini.

Pada 25 Mac 2008, perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa draf rang undang-undang IPCMC siap untuk dikemukakan kepada Kabinet sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, perkara itu ditangguh apabila Dewan Rakyat dibubar pada tahun berkenaan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-12.

IPCMC adalah bahagian terakhir dalam cadangan pembaharuan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, yang mencadangkan agar badan itu menggunakan model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) United Kingdom dan badan pemantau polis yang terdapat di New South Wales dan Queensland, Australia, serta Hong Kong.

Berhubung insiden kematian dalam lokap, beliau meminta semua pihak supaya tidak melihat insiden itu disebabkan kesilapan dan kecuaian anggota polis semata-mata dan hanya membabitkan kaum tertentu sahaja.

Mohd Bakri berkata, apa pun pihak polis sedang merangka strategi menguatkuasakan peraturan-peraturan sedia ada dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta memperbaiki kelemahan untuk mempastikan insiden seperti itu dapat dikurangkan.

"Adakalanya mereka yang ditahan pasti akan beremosi dan tidak boleh menolak kemungkinan mereka cuba membunuh diri seperti menghantuk kepala ke dinding, kita tidak boleh menahan perkara sedemikian rupa tapi polis tetap cuba sedaya upaya untuk memastikan lokap selamat digunakan," katanya.

Beliau berkata, polis juga akan melihat keperluan untuk bekerjasama dalam perkara-perkara tertentu dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan polis dapat melaksanakan tugas dengan baik serta teratur.

Mengulas mengenai rancangan mengadakan perhimpunan 'Black 505' di Padang Merbok, beliau berkata peraturan menetapkan penganjur perlu mendapatkan permit, dan terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian atau sebaliknya.

"Jika perhimpunan diadakan tanpa mengikut peraturan tindakan kita sama seperti apa tindakan yang dilaksanakan dulu, jadi kita tengok keadaan daripada semasa ke semasa, undang-undang berikan kita kuasa tertentu untuk melaksanakannya," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS