Selepas mengalami kelewatan pembinaannya, terminal KLIA2 untuk syarikat penerbangan tambang murah dijangka dibuka untuk operasi pada 2 Mei 2014 - lebih 10 bulan lewat dari jadual awalnya.
Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) ini selepas membuat semakan dengan kontraktor UEMC-Bina Puri Venture Bersama.
Katanya, UEMC-Bina Puri JV, kontraktor yang membina terminal itu hari ini mengesahkan bahawa tarikh siapnya ialah 30 April 2014, termasuk mendapatkan perakuan siap dan pematuhan dan operasi kesediaan serta pemindahan lapangan terbang.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata berdasarkan semakan tarikh baru oleh kontraktor berkenaan, pihaknya mensasarkan untuk memulakan operasi KLIA2 pada 2 Mei 2014.
Ia menambah bahawa keselamatan merupakan 'perkara paling utama' kepada MAHB dan ia akan memastikan bahawa bangunan terminal itu siap mengikut semua standard keselamatan.
Katanya, ia akan terus memantau kemajuan kerja dan menguatkuasakan denda lewat sewajarnya mengikut kontrak.
Dalam makluman kepada Bursa semalam, MAHB berkata ia telah mengenakan denda hampir RM200,000 sehari kepada kontraktor itu bermula 16 Jun kerana kegagalan menyiapkan pembinaan pada tarikh akhir 15 Jun.
