Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Yang Dipertua DUN Terengganu hari ini menyerahkan surat pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu.

Yang Dipertua DUN Mohd Zubir Embong menyerahkan surat itu kepada Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab di pejabat beliau di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada 10 pagi ini.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Dr A Rahman Mokhtar, 55, pagi semalam akibat kanser paru-paru.

Fakhrul Razi berkata beliau akan menyerahkan surat itu kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

"Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut boleh diadakan selewat-lewatnya pada 27 Ogos depan," katanya. Peraturan pilihan raya menetapkan pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman rasmi kekosongan kerusi.

A Rahman ialah  Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu bagi Barisan Nasional (BN) setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu  apabila memenangi 17 kerusi, PAS menguasai 14 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi.

- Bernama

ADS