Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali menegur kerajaan negeri yang menurutnya akan membentangkan belanjawan tambahan berjumlah RM761 juta dalam sidang DUN kali ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak sepatutnya membentangkan belanjawan tambahan itu, kecuali berlakunya krisis ekonomi atau malapetaka besar sehingga menyebabkan unjuran asal tersasar dan menuntut kerajaan menyediakan perbelanjaan luar jangka.

Belanjawan tambahan itu antara lainnya melibatkan RM165 juta untuk menampung bayaran Program Air Percuma, pemberian pinjaman berjumlah RM 413 juta untuk Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), kata Azmin.

Selain itu, RM24 juta lagi diperuntukkan sebagai pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi pelaksanaan projek dan RM76 juta untuk perbelanjaan bagi menampung kekurangan bagi projek pembangunan yang sedang dilaksanakan, katanya lagi.

"Jika disemak rekod selama lima tahun Pakatan Rakyat mentadbir negeri Selangor, mulai 2008 sehingga 2012, peruntukan perbekalan tambahan yang diminta pastinya dibentangkan lebih daripada satu kali setiap penggal. Malah pada mesyuarat bagi penggal ketiga, peruntukan perbekalan tambahan dibentangkan sehingga tiga kali.

"Teguran saya ini adalah untuk mengelakkan daripada rakyat membina persepsi dan berpandangan bahawa kerajaan negeri tidak dapat merancang penggunaan wang Negeri dengan bertanggungjawab dan pengurusan kewangan yang jujur.

"Apatah lagi, ini adalah mesyuarat pertama penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri," katanya sewaktu menyampaikan ucapan membahas titah ucapan diraja hari ini.

Dalam ucapannya juga, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak turut mempersoalkan sama ada peruntukan yang diluluskan dalam belanjawan yang lalu telah dibelanjakan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan pertama pada 2013.

"Apabila dewan bersidang untuk meluluskan belanjawan negeri pada setiap tahun, ianya adalah bertujuan secara prinsipnya untuk mendapat kelulusan rakyat melalui dewan bagi tujuan - tujuan pembangunan yang telah dirancang.

"Adalah amat malang sekiranya dalam setiap sidang dewan, ahli-ahli Dewan Negeri diminta untuk memberi kelulusan terhadap perbelanjaan perbekalan tambahan atas alasan perbelanjaan luar jangka.

"Ianya membayangkan bahawa kerajaan negeri telah memesongkan dewan yang mulia ini dengan membentangkan Belanjawan yang berimbang tetapi tiga atau empat bulan berikutnya tampil di Dewan dengan mengemukakan sejumlah perbelanjaan perbekalan tambahan yang akhirnya akan menjadikan belanjawan defisit bagi negeri Selangor," katanya.

Beliau menggesa kerajaan negeri meneliti semula keperluan perbentangan belanjawan pembekalan tambahan itu dan menggesa kerajaan negeri cermat mengimbangi keperluan penstrukturan korporat dan kepentingan rakyat melalui unjuran dan perancangan yang menyeluruh.

Dalam ucapannya, Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata keupayaan pengurusan sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diukur berdasarkan pengurusan yang cekap, berhemah dan tidak bergantung dengan dana kerajaan.

Sebaliknya, tegasnya, peranan GLC adalah untuk menjana keuntungan dan mengembalikannya kepada rakyat melalui kerajaan negeri dengan memberi contoh bagaimana Petronas yang mengembalikan keuntungan kepada rakyat melalui pembayaran dividen dan cukai kepada kerajaan persekutuan.

"Insya-Allah mungkin dalam dua bulan lagi, kita akan bertemu semula dalam sesi belanjawan negeri supaya usaha ini dapat mengelakkan kekerapan perbelanjaan perbekalan tambahan dalam Dewan yang mulia ini," katanya.

ADS