MP dakwa UM perkecil disiplin pengajian Islam

MP Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali mendakwa Universiti Malaya (UM) melakukan penstrukturan semula fakulti yang menyebabkan Akademi Pengajian Islam diturunkan taraf.

Katanya, akademi berkenaan kini diletakkan di bawah Fakulti Kesenian, Kemanusiaan dan Sains Sosial yang didakwa memperkecilkan disiplin pengajian Islam di universiti tertua di Malaysia itu.

"(Universiti) yang melahirkan ramai ulama pelbagai bidang, menjadi pensyarah, hakim, kadi, mufti dan sebagainya. Maka tidak layak pengajian Islam diperkecilkan seumpama itu.

"Dan (saya) bimbang tindakan itu akan diikuti oleh universiti-universiti yang lain," katanya membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Sambil membaca sepotong ayat Al-Quran, Khairuddin berkata sekiranya Allah mahu memberikan kebaikan kepada seseorang itu, maka Allah akan beri kefahaman tentang Islam kepadanya.

"Ertinya rakyat tidak akan menjadi baik, jika tidak diberi ilmu dan kefahaman tentang agama Allah dan tidak sepatutnya (pengajian Islam) diperkecilkan seumpama itu," katanya.

UM mempunyai 14 fakulti termasuk Akademi Pengajian Islam dan Akademi Pengajian Melayu, enam institut dan lima pusat pengajian.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.