BN ada tiga nama untuk calon p'raya kecil K Besut

Timbalan pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu mengenalpasti tiga individu yang mungkin akan dipertimbangkan sebagai calon untuk pilihan raya kecil Kuala Besut.

Beliau tidak menyebut nama individu berkenaan namun berkata, mereka terdiri dari golongan anak tempatan, berkelayakan tinggi dan dikenali warga tempatan.

“Nama itu akan dikemukakan kepada pengerusi parti dan kita akan putuskan secepat mungkin,” katanya seperti dipetik dalam laporan Utusan Malaysia hari ini.

BN bakal mendapat tentangan dari PAS, yang dilaporkan akan turut memutuskan calon bagi pilihan raya tersebut dalam masa beberapa hari lagi.

Naib presiden Datuk Mahfuz Omar berkata perkara itu akan diputuskan dalam masa sehari dua lagi, menurut laporan Sinar Harian.

Akhbar sama semalam melaporkan, antara nama yang dipertimbangkan ialah yang dipertua PAS kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad.

Selain itu, turut dipertimbangkan ialah Napisah Omar, calon Muslimat PAS yang bertanding di kawasan tersebut dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Laporan itu semalam memetik kenyataan pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.