Tebing runtuh di Ukay Perdana, tiga terkorban

Tiga pekerja binaan rakyat Myanmar maut manakala seorang cedera setelah tertimbus dalam kejadian tebing runtuh di kawasan pembinaan di Taman Sierra, Ukay Perdana di Kuala Lumpur hari ini.

Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd Alam, Kowrin dan Romzo Ali, berumur antara 29 dan 34 tahun.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata ketika kejadian pada pukul 11.29 pagi itu, lapan pekerja sedang membuat kerja sistem perparitan.

"Runtuhan tebing setinggi tiga meter itu telah menghempap empat orang...tiga mati tertimbus manakala seorang lagi patah kaki dan dia kini dirawat di Hospital Ampang.

"Kami mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan tiga mangsa yang tertimbus," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian, hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga mayat rakyat Myanmar itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Anggota Parlimen Gombak Azmin Ali berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan arahan kepada pihak pengurusan projek supaya menghentikan kerja-kerja pembinaan serta-merta sehingga siasatan selesai.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.