Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA: RUU harus pertimbang lebih banyak rundingan
Diterbitkan:  Jul 4, 2013 7:51 AM
Dikemaskini: Jul 4, 2013 9:27 AM

MCA meminta kerajaan menarik balik cadangan pindaan Rang-Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan pengislaman kanak-kanak bawah umur dengan persetujuan hanya seorang ibu atau bapa sahaja.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti itu juga mahu kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan lebih banyak rundingan dengan badan-badan agama sebelum membuat keputusan mengenal perkara itu.

Cadangan pindaan ke atas Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

"Kami berpendapat kerajaan perlu menarik balik rang undang-undang itu dan mempertimbangkan lebih banyak rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum membentangkannya," katanya.

Liow berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan anggota Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) di Wisma MCA di Kuala Lumpur.

Beliau juga berkata anggota Parlimen MCA sudah menyampaikan pandangan parti itu kepada kerajaan mengenai cadangan pindaan tersebut.

Sementara itu Presiden MCCBCHST Daozhang Tan Hoe Chieow berkata Seksyen 107(b) rang undang-undang itu perlu ditarik balik untuk rundingan seterusnya dengan bukan Islam kerana ia melibatkan hak masyarakat bukan Islam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata cadangan itu dibuat selepas mengkaji maklum balas dari pelbagai pihak termasuk penghakiman Mahkamah Persekutuan dan peruntukan dalam Perlembagaan.

- Bernama

ADS