Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menangkis dakwaan PAS bahawa kerajaan negeri merampas tanah penduduk untuk mendirikan projek pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out di Kuala Besut.

Katanya, dakwaan bahawa kerajaan negeri merampas tanah berkenaan adalah tidak benar kerana ia merupakan tanah milik kerajaan negeri.

Tambahnya, kekeliruan itu timbul memandangkan PAS yang mentadbir Terengganu antara 1999 hingga 2004 mengiktu prosedur yang tidak betul dalam meluluskan proses permohonan untuk memiliki tanah.

"Kerajaan PAS ketika memerintah dulu, dia semua melalui JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat). Dia agih semua tanah, dengan mengeluarkan borang sendiri, tidak melalui pejabat tanah.

"Kita kutip duit untuk bayar upah ukur... Kita kerajaan ada peraturan. Setiap permohonan tanah, ia mesti melalui jadual satu, kemudian dihantar ke pejabat tanah dan sebagainya. Ini semua proses.

"Kalau bayar mesti dikeluarkan resit. Dan kalau tanah tak jadi hak dia, dia kena bayar balik. Tapi duit itu diambil (dan) diberi kepada juru ukur untuk diukur, tapi tanah tak tahu (di mana). Borang tidak pernah di isi," katanya dalam sidang media petang ini.

Beliau mengulas dakwaan PAS semalam bahawa kerajaan BN Terengganu merampas dan merobohkan beberapa rumah yang dibina di kampung tersebut bagi kerja pembinaan pangsapuri 72 unit yang dirasmikan oleh timbalan perdana menteri Sabtu lalu.

Yang Dipertua PAS Besut Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa tanah lot perumahan di situ diberikan oleh kerajaan Terengganu yang ditadbir oleh PAS pada 1999 hingga 2004.

Bagaimanapun, dakwanya, kerajaan BN bawah pentadbiran menteri besar selepas itu, Datuk Seri Idris Jusoh telah membatalkan dan merampas kembali tanah rakyat di 'Rancangan Tanah Berkelompok' tersebut, tanpa sebarang pampasan.

Ahmad yang pernah menjadi pentadbir tanah di negeri itu berkata tanah tapak perumahan percuma itu adalah milik kerajaan dan parti tidak ada hak untuk memberi tanah.

"Pihak pejabat tanah yang berkuasa. Bila keluar borang, awak kena bayar tanah, upah ukur, batu sempadan dan cukai tahun pertama.

"Apa yang dilakukan oleh PAS, dia lantik JSR, panggil jabatan ukur, kutip duit... tapi tanah, kat mana?," katanya.

ADS