Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Mereka berani hina Islam bila tak bersama BN
Diterbitkan:  Jul 21, 2013 1:55 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, segelintir masyarakat semakin berani menghina Nabi Muhammad dan mengeluarkan kenyataan yang menghina orang Islam berpuasa kerana mereka kini tidak lagi menyokong BN.

Dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Mahathir berkata, sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu, perkara seperti itu tidak berlaku kerana semua kaum di Malaysia menyokong BN.

Menurutnya, sebelum PRU13, BN menang dengan mendapat dua pertiga. Bagaimanapun kini, katanya, kaum Cina langsung tidak menyokong BN dan Melayu pula berpecah kepada tiga kumpulan.

"Kesan daripada PRU-13 berkait rapat dengan rasisme yang semakin menebal dan ia perlu diambil kira oleh semua pihak memandangkan masa depan negara tidak berapa baik kerana perkara ini. Kalau diperhatikan pemisahan antara kaum telah membuatkan kita semakin jauh sehingga sudah sampai ke tahap ada yang berani mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan.

"Kita sudah beri kebebasan apabila tiada lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sebagainya, namun mereka semakin berani dengan menghina Nabi Muhammad SAW, mengeluarkan kenyataan yang menghina orang Islam yang berpuasa dan sebagainya. Semua ini tidak pernah berlaku kerana dahulu semua kaum di Malaysia menyokong BN.

"Kita menang dengan kelebihan yang tinggi melebihi dua pertiga tetapi kini oleh kerana orang Cina langsung tidak menyokong BN manakala orang Melayu pula berpecah tiga kumpulan, maka kita lihat kerajaan yang didirikan sekarang tidak mendapat sokongan yang mencukupi," katanya dalam wawancara itu.

Mahathir dilapor berkata demikian berikutan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang ditahan kerana mempersendakan umat Islam dan Ramadan dengan mengetengahkan bak kut teh (sup babi) sebagai juadah berbuka puasa melalui gambar di Internet.

Tan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Lee di Penjara Kajang.

ADS