Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi JKK Kampung Beris Lampu Yaakob Kadir menafikan pemberian wang kepada pengundi luar sewaktu berlangsungnya pilihan raya kecil DUN Kuala Besut adalah satu bentuk rasuah, tetapi menegaskan ia "insentif kepada pengundi luar".

"Ia bukan rasuah, tapi insentif kepada pengundi luar sebab pulang untuk mengundi (dalam pilihan raya Kuala Besut). Kalau rasuah, dia buat secara sembunyi-sembunyi.

"Kita beri kepada semua, tak kira mereka itu pangkah BN atau PAS. Orang luar kalau balik, pasti dia akan sokong PAS," kata ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya pagi ini.

Yaakob berkata beliau diarahkan oleh parti untuk beri 'insentif' itu di perkarangan rumahnya "untuk mengelak suasana sesak jika buat di tempat terbuka"

Beliau mengulas insiden pengundi yang dilihat beratur untuk mendapatkan wang tunai di luar rumah sekurang-kurangnya dua ketua kampung di DUN Kuala Besut kelmarin, kononnya untuk elaun perjalanan mereka.

Pengundi berkenaan dilihat di kediaman ketua Kampung Lay Out dan ketua Kampung Beris Lampu dalam daerah mengundi Tok Saboh.

Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini berhampiran pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Nangka dan di luar rumah ketua kampung Lay Out - kebanyakan mereka enggan dinamakan - wang itu untuk pengundi yang pulang dari luar untuk mengundi.

'Tak sampai 100 orang'

Jumlahnya ialah antara RM50 bagi mereka yang pulang dari Kota Bharu, sehingga RM200 bagi mereka yang pulang dari Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Yaakob yang juga ketua cawangan Umno kampung itu sejak 20 tahun lalu berkata jumlah pengundi luar yang berdaftar bagi mendapatkan insentif itu kelmarin "tak sampai seratus orang".

Menurutnya lagi, insentif itu diberikan mengikut jarak lokasinya iaitu jika pengundi itu bekerja di Kuantan sebanyak RM150 akan diberikan; Kuala Terengganu (RM100); Johor dan Kuala Lumpur (RM200).

"Ada yang merungut kata tak cukup... Kalau nak ikut (insentif itu) tak padan," katanya yang mesra di panggil 'Pak Anjang'

Sambil menjelaskan ramai pengundi tidak pulang mengundi memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir, Yaakob berkata pemberian insentif seperti itu juga pernah diberikan pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Pengerusi JKK Kampung Lay Out Rashid Yusof pula tiada di rumah sewaktu Malaysiakini datang ke kediamannya bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Menurut salah seorang ahli keluarganya, Rashid tiada di rumah kerana menemani ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menziarahi orang sakit.

Idris, Mat Said belum jawab

"Saya tidak pasti bila beliau nak balik," kata salah seorang ahli keluarga Rashid yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh tetapi masih belum mendapatkan maklum balas.

Sementara itu pengurus kempen bagi calon PAS DUN Kuala Besut Hanafiah Mat mendakwa pemberian wang tersebut merupakan "rasuah secara terbuka" dan dilakukan "tanpa malu dan tanpa segan silu".

"PAS tidak buat sebegitu rupa. Apa perkara yang diberikan untuk mendapat undi, itu dinamakan rasuah," katanya.

Beliau yang juga ADUN Chukai juga mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengambil tindakan segera berhubung insiden tersebut.

Katanya, PAS akan berbincang berhubung perkara tersebut dalam mesyuaratnya sebelum mengambil tindakan seterusnya.

ADS