Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar M'sia di Mesir pilih raya di tanah air
Diterbitkan:  Aug 6, 2013 11:16 AM
Dikemaskini: 7:29 AM

Kebanyakan pelajar Malaysia di Mesir memilih untuk pulang beraya di tanah air memandangkan suasana di sana agak berbeza dan sunyi untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Pelajar perubatan tahun tiga di Universiti Alexandria, Mesir, Mohd Qarafi Mohd Ridhuan Tee, 22, berkata beliau memilih untuk pulang beraya di Malaysia disebabkan keadaan di sana kurang stabil dan beliau ingin beraya bersama-sama keluarga yang pastinya lebih memberi seribu makna.

"Sekarang ini masih lagi dalam musim peperiksaan. Selepas habis peperiksaan saya akan terus balik ke Malaysia untuk beraya bersama keluarga nanti. Keadaan di sini tidak meriah seperti di tanah air memandangkan sekarang masih berlaku pergolakan di sini," jelasnya kepada Bernama .

Mohd Qarafi berkata para pelajar di sana disarankan untuk pulang beraya di tanah air, namun ia terpulang kepada kehendak masing-masing.

Pelajar pergigian di universiti sama, Mohd Bokhari Zainal, 22, berkata persediaan untuk beraya di Mesir amat kurang jika dibandingkan di Malaysia.

"Di sini, mereka hanya tumpukan kepada bulan Ramadan sahaja. Tak macam di Malaysia, kita meriah dengan sambutan perayaan. Hari Raya Korban di sini baru meriah," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata penduduk di sana lebih menumpukan kepada ibadah di waktu malam pada bulan Ramadan kerana waktu siangnya yang singkat.

Tiada bazar-bazar yang menjual pelbagai jenis juadah makanan atau minuman seumpamanya di sana. Para peniaga di sana hanya menjual air minuman untuk berbuka, kurma dan buah zaitun sahaja, katanya.

Diminta memberikan sedikit gambaran tentang kemeriahan bertarawih, Mohd Bokhari berkata beliau berasa sedih dan terkilan kerana pergolakan yang masih berlaku di sana memberi kesan kepada masjid dan jemaah yang ingin menunaikan ibadah tersebut.

"(Masjid) Qaied Ibrahim merupakan masjid paling popular di Alexandria. Jemaahnya melimpah sampai ke tepi-tepi jalan. Tapi sejak bergolak, masjid ini dah tak aman sebabnya ia jadi tempat tumpuan kumpulan Ikhwan Muslimin.

Kebanyakan orang Malaysia memang pergi masjid itu untuk tarawih dan solat sunat hari raya," jelasnya.

Tambahnya lagi, untuk Ramadan kali ini ramai pelajar Malaysia sudah pulang tanah air untuk pulang beraya.

Jelasnya yang pernah beraya di perantauan, para pelajar Malaysia di Mesir amat kurang mendapat jemputan majlis hari raya daripada penduduk setempat.

Badan-badan persatuan yang ada di sini sahaja membuat majlis sambutan hari raya untuk rakyat Malaysia yang tidak pulang beraya.

Sambutan perayaan di Mesir juga hambar ditambah pula kini berlakunya pergolakan, dan sebarang sambutan dan majlis akan dijalankan bergantung kepada situasi keadaan dari masa ke masa, katanya.

- Bernama

ADS