Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ia hanya dua perkataan namun ucapan Terima Kasih nampaknya semakin sukar dilafazkan.

Tanpa disedari, sikap berbudi bahasa itu semakin pudar dalam kalangan rakyat Malaysia dek kerana perubahan corak kehidupan yang menjadikan mereka sentiasa terburu-buru.

Tokoh Sastera Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata keadaan terburu-buru menjadikan kita seolah-olah tiada ruang untuk memikirkan kebaikan yang telah diberikan kepada kita.

"Lazimnya, kita menerima. Kalaupun berterima kasih, ia seumpama sudah dibiasakan untuk menyebutnya tanpa penghayatan makna mendalam peri menghargai kebaikan yang dilakukan," katanya kepada Bernama .

Beliau berkata masyarakat khususnya generasi muda perlu dididik dan dilatih bahawa secebis pertolongan, kebaikan atau apa sahaja amalan berkaitan hasrat yang murni sewajarnya dihargai dengan sekurang-kurangnya ucapan Terima Kasih.

"Ini merupakan amalan yang sepatutnya. Dalam ucapan Terima Kasih terkandung segala-galanya...inilah yang perlu dipraktikkan semula supaya masyarakat kembali memperoleh makna daripada amalan berterima kasih," katanya.

Lim berkata ucapan itu sebenarnya menggambarkan penghargaan terhadap sebarang bantuan yang diterima seseorang selain mengeratkan perhubungan sesama manusia.

Amalan itu harus dipupuk di semua peringkat melalui gambaran situasi, perbuatan dan pengucapan yang sebenarnya tanpa sebarang agenda di sebaliknya.

"Jadikan berterima kasih jambatan penghubung hati, hatta sekecil mana pun atau sebesar-besar budi dan bakti. Ia lambang kasih dan atas sifat insani," katanya.

Budayawan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim pula hairan mengapa masyarakat kini terutamanya generasi muda sukar mengucapkan Terima Kasih.

"Kalau diberi apa-apa sumbangan, banyak yang menganggap itu hak mereka dan mereka layak menerimanya. Sumbangan atau bantuan yang diberi tidak lagi dianggap sesuatu yang istimewa lalu mereka seolah-olah tidak menghargainya," katanya.

Beliau berpendapat nilai yang semakin berkurangan itu berpunca daripada corak pendidikan sama ada oleh ibu bapa, orang dewasa mahupun guru.

Nik Safiah berkata nilai-nilai murni yang diajar di sekolah sudah jarang dihayati dan dipraktikkan sebaliknya dijadikan asas untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata.

Kedua-dua tokoh bahasa itu sependapat bahawa asuhan dari rumah mampu menyemarakkan semula budaya berterima kasih dalam kalangan masyarakat.

- Bernama

ADS