Cahya Mata ambil 67 masjid jadi anak angkat

Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB), syarikat infrastruktur dan pemangkin pertumbuhan terkemuka milik kerajaan negeri, kekal menjadi syarikat paling komited dan aktif dalam menjalankan aktiviti kemanusiaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Richard Curtis berkata sebagai sebahagian inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), program mengambil masjid sebagai anak angkat 'CMS' Adopt-a-Mosque' dilancarkan pada 2002, terus menjadi inisiatif utama syarikat.

"Kami gembira dapat meneruskan program 'Adopt-a-Mosque'. Kini sudah masuk tahun ke-11, program ini adalah aktiviti paling lama dianjurkan syarikat kami di bawah inisiatif 'Doing Good' untuk masyarakat," katanya di Kuching hari ini.

Curtis berkata ketika ini, CMSB telah mengambil 67 masjid sebagai anak angkat di seluruh Sarawak; iaitu Kuching (23), Kota Samarahan (9), Sarikei & Bintangor (5), Sibu (6), Miri (10), Bintulu (11) dan Betong (1), dengan tambahan dua surau baharu di Kuching pada 2014.

"Setiap masjid menerima RM1,800, berjumlah lebih RM117,000 setahun. Selain itu, CMSB turut membantu masjid dan surau lain menerusi sumbangan secara berkala mengikut keperluan," katanya.

"Kami memberi tumpuan untuk mengeratkan silaturahim dan menghulurkan bantuan untuk jangka panjang. Berbuat baik dan melakukan kebajikan telah menjadi budaya CMSB dan merupakan falsafah syarikat kami," katanya.

Curtis juga berkata sebagai sebahagian inisiatif CSR Kumpulan CMSB, pekerja semua gred digalakkan sebagai satu daripada KPI mereka untuk melakukan sekurang-kurangnya tiga hari kerja kemasyarakatan dalam setahun di luar waktu pejabat.

"Pada 2012 ini mendorong pekerja mencatatkan lebih 34,000 jam meningkat daripada 7,700 jam dicatat pada 2007 pada inisiatif tahun pertama. Daripada segi penajaan dan sumbangan korporat, pada 2013, CMSB membelanjakan lebih RM200,000 sebagai sumbangan untuk badan-badan sukan dan pertubuhan kebajikan".

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.