Dalang 'Kumpulan Panji Hitam' sedang dikenal pasti

Polis sedang mengenal pasti dalang kumpulan yang ditahan di luar pintu Istana Negara awal pagi semalam yang mendakwa pewaris sah Yang di-Pertuan Agong.

NONEKetua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah (kiri) berkata polis juga sedang mengenal pasti motif sebenar kumpulan itu berbuat demikian, lapor Bernama.

"Susulan itu, lapan lelaki termasuk ketua kumpulan yang berumur 40 tahun direman seminggu mulai hari ini.

"Seorang wanita berusia 52 tahun yang merupakan isteri kepada ketua kumpulan itu serta anak perempuan mereka berumur 11 tahun direman dua hari sehingga esok," beliau dipetik sebagai berkata dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ku berkata, kesemua lapan suspek lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 121B Kanun Keseksaan atas kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertuan Negeri dan boleh dihukum penjara seumur hidup atau didenda.

Kumpulan yang mendakwa anggota Kumpulan Panji Hitam Dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara itu berpakaian serba hitam dan tiba di kawasan istana dengan menaiki tiga kereta pada 4.10 pagi sebelum ditahan polis.

Media melaporkan mereka cuba mengambil alih pentadbiran Istana Negara.

Tangkapan termasuk rampasan kesemua kenderaan terlibat dilakukan ketua balai polis Jalan Travers. Tiada senjata ditemui ketika pemeriksaan polis terhadap kenderaan yang dirampas.

Siasatan polis mendapati tujuh daripada mereka berasal dari Melaka, Perak, Johor dan Kedah.

Antara ajaran kumpulan itu ialah dua kalimah syahadah sedia ada tidak sah dan anggota baharu diwajib berbaiah serta mengucap kalimah syahadah baharu di hadapan ketua yang bergelar 'Tuanku'.

Jakim: Mula dikesan melalui media sosial

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, agensi berita nasional juga melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri sedia bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi menangani kumpulan itu.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu diminta memaklumkannya kepada Jakim dan jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Menurut Othman, meskipun doktrin yang dibawa kumpulan itu jelas bertentangan dengan fakta sejarah dan menyeleweng dari sudut agama, termasuk doktrin raja utusan Allah dan tentera Al-Mahdi, namun mereka diyakini mempunyai pengikut setia.

"Gerakan ini mula dikesan sejak awal menerusi media-media sosial yang didedahkan serta dikongsi bersama masyarakat, walaupun ia dilihat sebagai perkara yang tidak masuk akal," beliau dipetik sebagai berkata.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.