Tips untuk pemandu wanita sebelum balik raya

Pemandu wanita diminta memberi perhatian terhadap aspek keselamatan sebelum dan semasa perjalanan pulang ke destinasi masing-masing sempena sambutan Aidilfitri, Khamis ini.

Sehubungan itu, mereka dinasihatkan mematuhi beberapa panduan sebelum melakukan perjalanan jauh pulang ke kampung, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Muhammad Heeza Hassan.

Beliau berkata antara panduan itu ialah memastikan ada teman bersama ketika memandu terutamanya pada waktu malam.

"Mereka juga perlu servis kenderaan iaitu memberi tumpuan kepada tayar dan brek. Periksa tekanan angin tayar.

"Tayar merupakan komponen paling mustahak. Untuk mendapat bacaan tepat, tekanan angin tayar perlu diperiksa semasa tayar dalam keadaan sejuk iaitu pada waktu pagi sebelum memulakan perjalanan," katanya kepada Bernama semalam.

Pemandu wanita juga dinasihatkan supaya mengelak membawa muatan lebih sewaktu membuat perjalanan jauh supaya tidak memberi tekanan terhadap tayar.

Mereka juga diminta mematuhi jadual perjalanan yang ditetapkan Plus untuk mengelak daripada kesesakan lalu lintas serta menyimpan nombor telefon individu penting untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

Ditanya mengenai saranan kepada pemandu wanita berhadapan keadaan cemas seperti kereta rosak atau tayar pancit ketika memandu seorang diri, Muhammad Heeza berkata mereka disaran menghubungi pihak Automobile Association of Malaysia (AAM) untuk meminta bantuan dan nasihat.

Beliau berkata jika berlaku kecemasan di lebuh raya, mereka boleh menghubungi pihak Plus atau AAM.

Dalam pada itu, Muhammad Heeza menasihati pengguna jalan raya supaya bersabar dan mempertingkatkan disiplin ketika di jalan raya serta mematuhi undang-undang.

"Saya nasihatkan orang ramai pakai tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan dan belakang, patuhi had laju, sekiranya hujan perlahankan kenderaan , elakkan memotong di garisan berkembar, elak menggunakan lorong kecemasan dan patuhi lampu isyarat," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.