Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bajet 2014: Kumpulan fokus wakil negeri diwujudkan
Diterbitkan:  Aug 7, 2013 10:44 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Satu kumpulan fokus terdiri dari wakil kerajaan negeri akan diwujudkan bagi memberi input dan mengumpul pandangan mengenai Belanjawan 2014.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata kumpulan fokus terbaharu itu putuskan semasa mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

"Hasil mesyuarat Majlis Kewangan Negara, satu lagi kumpulan fokus Belanjawan 2014 ditambah. Kumpulan fokus ini dijangka akan mengadakan satu mesyuarat bulan ini dengan mengumpul pandangan wakil-wakil kerajaan terhadap Belanjawan 2014," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan, di Akademi Percukaian Malaysia, Kuching, semalam.

Mengulas mengenai 15 kumpulan fokus sedia ada yang akan memberi pandangan dan input kepada Belanjawan 2014, Ahmad berkata mesyuarat jawatankuasa bersama kumpulan fokus masih giat diadakan bagi mengumpul segala bahan bagi tujuan pembentangan Belanjawan 2014, di Parlimen pada 25 Okt depan.

"Masyarakat awam digalakkan memberi pandangan dan cadangan mengenai Belanjawan 2014 dan mereka masih mempunyai waktu sehingga 31 Ogos sebelum semua cadangan dikaji pada September," katanya.

Menurutnya masyarakat awam boleh menyalurkan pandangan mereka melalui pelbagai saluran seperti surat dan memorandum.

"Jika memorandum tersebut panjang dan memerlukan kita memanggil pihak berkaitan, kita akan panggil mereka ke Putrajaya supaya memberi ulasan terhadap memorandum itu," katanya.

Selain itu, katanya pihaknya turut mengumpul 20 hingga 30 wakil agensi berkaitan, pihak swasta, dan NGOs untuk memberikan pandangan masing-masing mengenai Belanjawan 2014.

- Bernama

ADS