Tragedi berdarah Simunul lenyapkan sinar bahagia 1 Syawal

Setiap 1 Syawal mereka pasti enyambutnya sekeluarga sama ada di Semenanjung Tanah Melayu atau di Sabah, tapi Syawal kali ini pasti berbeza bagi Sumiati Suarah, 51, apabila suami yang selamai ini menjadi peneman hidup pergi buat selama-lamanya.

Lebih menyedihkan, persiapan untuk menghadapi Aidilfitri saban tahun ibuat awal oleh arwah suami malah untuk tahun ini pun, tiket penerbangan sudah ditempah awal tahun untuk pulang berhari raya di kampung sebelah suami di Kuala Lumpur.

Suaminya Allahyarham Sjn Baharin Hamit, 49, adalah seorang daripada enam anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam peristiwa berdarah apabila kumpulan pengganas dari selatan Filipina menyerang hendap anggota keselamatan di
Kampung Simunul, Semporna awal Mac lepas.

"Rasa sedih masih terasa...tahun ini dia sudah tiada...raya kali ini persiapan ala kadar sahaja, keseronokan beraya sudah hilang separuh. Anak-anak shopping raya pun tidak ceria malah tiada 'mood' beraya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di

Meskipun reda dan berbangga dengan pemergian arwah sebagai wira negara, Sumiati berkata raya tahun ini 'sangat hilang' kerana suami yang 'paling seronok' melakukan persiapan raya pada setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri.

"Kebiasaannya suami sebagai ketua keluarga akan membuat persiapan raya, beli baju raya untuk saya dan anak-anak, dua minggu sebelum raya. Anak-anak pun selalu cakap 'ibu tidak seronok nak beraya ayah dah tiada'.

"Setiap tahun dia hanya mengambil cuti raya dan menghabiskan masa beraya bersama-sama anggota keluarga. Kami juga bergilir-gilir balik raya di Sabah dan Kuala Lumpur," katanya dalam nada sedih.

Menceritakan detik-detik ketika mengetahui berita kematian suami dalam tragedi berdarah itu, Sumiati berkata suami menghubunginya sehari sebelum kejadian meminta mereka sekeluarga tidak bimbang selain meminta beliau dan anak-anak mendoakan keselamatannya.

"Siapa sangka beliau yang sering mengikuti mana-mana operasi yang diarahkan dan tidak pernah ditukar ke luar daerah atau negeri lain setelah 30 tahun berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kota Kinabalu, terkorban dalam operasi besar kali ini," katanya.

Suri rumah itu berkata ketika suami dipanggil bertugas di Semporna tiada yang pelik kecuali anak bongsu perempuannya menangis teresak-esak tidak merelakan ayahnya bertugas di Semporna sedangkan sebelum ini dia 'ceria' setiap kali ayahnya diminta bertugas di luar daerah.

"Anak perempuan saya tidak bagi suami pergi operasi masa itu, dia menangis tidak habis-habis...dia kata akan rindu ayah bila ayah pergi outstation. 

"Apabila ayahnya sampai Lahad Datu, ayahnya telefon dia tidak mahu bercakap sehingga pada malam sehari sebelum kejadian baru dia mahu cakap dengan suami yang menghubunginya," katanya yang menyifatkan mungkin itu petanda bahawa suami
bakal meninggalkan beliau sekeluarga buat selama-lamanya.

Allahyarham yang berkhidmat sejak 1994 mempunyai dua anak Mohd Izzat Syafiq, 15, dan Nur Izzati Syafiqah 11. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Dua, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

Sambil berharap anak-anak tabah menghadapi dugaan ini beliau berkata bantuan pendidikan yang diperolehi daripada kerajaan akan menyara kehidupan mereka pada masa depan.

Jika diizinkan kesihatan yang baik kami sekeluarga akan pulang beraya di Kuala Lumpur sepertimana tahun ini beraya di sana," katanya kini menumpang tinggal di rumah kakak sulungnya di Kampung Darau, Menggatal dan berkemungkinan meraikan 1 Syawal di situ.

Mohd Izzat ketika ditanya mengenai persiapan raya tahun ini berkata: "Tahun ini raya rasa lain dan menempah dua pasang baju Melayu berbanding tahun sebelum ayah beli yang sudah siap".

Sebelum Kampung Simunul Semporna bermandi darah sejak pembukaannya pada 9 Mac 1939, dua anggota polis komando VAT 69 terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu dan diikuti dua anggota tentera gugur dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, manakala seorang lagi terkorban dalam kemalangan di Jalan Tungku, Kampung Bakapit, Lahad Datu.

Rentetan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu mendarat di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu, Februari lepas dan kejadian di Kampung Simunul Semporna, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan  penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) pada 7 Mac.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.