Ada syarat untuk tanding tiga jawatan tertinggi Umno

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata mereka yang berhasrat bertanding tiga jawatan tertinggi parti dalam pemilihan Oktober perlu memenuhi syarat ditetapkan.
    
Beliau berkata antara syarat itu ialah telah menjadi anggota jawatankuasa bahagian selama tiga tahun atau satu penggal.
    
"Ataupun pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi sekali seumur hidup," katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.
    
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden hanya boleh ditandingi oleh anggota Majlis Tertinggi sedia ada.
    
"Bukan MT sahaja, ia terbuka. Ini adalah kerana ada orang yang tidak pernah melalui proses (dalam kepimpinan) Umno dilantik  menjadi menteri dilantik sebagai MT," katanya.
    
Ketika ditanya mengenai perjalanan mesyuarat peringkat cawangan yang sedang berlangsung, beliau berkata setakat ini semunya berjalan lancar.
    
Mesyuarat cawangan bermula 15 Julai lepas dan akan berakhir 31 Ogos.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.