Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas atlet negara Ishtiaq mubarak meninggal dunia
Diterbitkan:  Aug 9, 2013 3:09 PM
Dikemaskini: 5:11 PM

Bekas atlet negara Ishtiaq Ahmad Mubarak, 65, meninggal dunia di rumahnya di Hulu Kelang hari ini.

    

Isterinya Shamimi Selvarani Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira pukul 9.55 pagi. Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan.

    

Ishtiaq Ahmad antara lain mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat di Sukan Asia, Sukan SEA dan serta mewakili negara pada Sukan Olimpik.

Sumbangan yang diberikan oleh Isthiaq semasa hayatnya bukan sekadar membawa pulang pingat dalam acara 110m lompat pagar di Sukan Asia, Kejohanan Asia dan Sukan SEA, malah Allahyarham menyambung keringat sebagai jurulatih kebangsaan sehingga tahun lepas.

    

Beliau pernah mewakili negara dalam tiga Sukan Olimpik iaitu pada edisi 1968 di Mexico, 1972 di Munich, Jerman dan diberi penghormatan sebagai pembawa bendera kontinjen negara pada Sukan Olimpik 1976 di Montreal, Kanada.

    

Ishtiaq, 65, meninggal dunia di rumahnya di Taman Zooview, Hulu Kelang, pada pukul 9.55 pagi ini selepas terjatuh di bilik air dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

    

Sebelum ini, Allahyarham tidak dalam keadaan sihat sejak mengalami serangan angin ahmar tiga tahun lepas.

Allahyarham meninggalkan isteri Shamini Selvarani Abdullah, 52, juga bekas atlet olahraga negara dan dua anak perempuan, Shaniz, 26 dan Shakira, 22.

    

Jenazah disembahyangkan dan dikafankan di Masjid Al-Ridhuan Hulu Kelang di sini sebelum dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Islam KL-Karak Taman Batu Muda, Gombak, pada pukul 6 petang.

    

Allahyarham mula mewakili negara pada Sukan Asia di Bangkok pada 1966 di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara 110m lompat berpagar. Lapan tahun kemudian beliau merangkul pingat perak pada Sukan Asia 1974.

    

Beliau turut merangkul pingat perak pada Kejohanan Trek dan Balapan Asia pada 1973 dan 1975.

    

Dalam Sukan Olimpik 1976, Isthiaq merupakan wakil tunggal negara yang layak ke separuh akhir, iaitu atlet kedua negara selepas M. Jegathesan pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun.

    

Ishtiaq juga memenangi emas acara 110m lompat berpagar pada Sukan SEA 1969, 1971 (rekod baharu Sukan SEA 14.4s), 1973 dan 1977.

Rekod kebangsaan 14.08s yang diciptanya kekal selama 15 tahun sebelum dipecahkan oleh Nur Herman Majid.

- Bernama

ADS