Bekas wartawan Utusan mahu tanding jawatan CEC

Bekas wartawan Utusan Malaysia, Amran Ahmad berkata beliau akan bertanding untuk jawatan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP sekiranya Pendaftar Pertubuhan memutuskan agar pemilihan tersebut dijalankan semula.

Anak kepada bekas naib pengerusi DAP kebangsaan Ahmad Nor itu berkata, beliau memutuskan demikian demi mengukuhkan persepsi masyarakat bahawa DAP merupakan parti pelbagai kaum dan mendengar pandangan orang Melayu dalam semua keputusannya.

"Berbekalkan rekod prestasi arwah bapa yang cukup setia dalam perjuangannya bersama DAP selama berbelas tahun lamanya, saya yakin mendapat kepercayaan daripada ahli-ahli DAP untuk berada dalam CEC sekali gus meneruskan legasi arwah bapa dalam politik negara,

"Jika anak bekas pemimpin Umno, Zairil (Khir Johari) mampu menjana 803 undi, masakan saya sebagai anak bekas pemimpin DAP tidak mampu untuk meraih jumlah undi yang diperlukan untuk menduduki badan tertinggi parti," kata ahli DAP cawangan Damansara Utama itu.

Amran berkata, beliau menerima banyak galakan di peringkat akar umbi terutama dari kalangan rakan arwah bapanya.

"Galakan dan sokongan kian memuncak ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini dengan rakan kenalan dan rakan sekerja arwah bapa menggesa saya untuk meneruskan legasi perjuangan bapa ke arah Malaysia yang lebih baik dan sekarang adalah masa terbaik untuk berbuat demikian," tambahnya.

ROS pada 30 Julai lalu mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana tidak berpuas hati dengan dengan penjelasan  parti itu berhubung isu penyelewengan dan manipulasi undi pada pemilihan yang dijalankan pada Disember tahun lalu.

Setiausaha DAP Lim Guan Eng tidak berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan ROS dan mencabar ketua pengarah jabatan tersebut, Datuk Abdul Rahman Othman, untuk bersemuka.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.