Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga Tg Labian mahu k'jaan bina jalan pantai

Penduduk Tanjung Labian meminta kerajaan membina jalan pantai dari Dengan ke Tambisan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat petani dan nelayan di kawasan itu.

Ketua Masyarakat Zon Tanjung Labian, Assafal Alian, 49, berkata pembinaan jalan pantai itu akan memudahkan penduduk di sekurang-kurangnya 13 kampung memasarkan hasil pertanian atau perikanan mereka.

"Jalan pantai ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesisir pantai  timur Sabah selari dengan objektif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang antara lain untuk membangunkan ekonomi, sosio-budaya dan pendidikan penduduk," katanya kepada Bernama .

Menurutnya, kebanyakan penduduk kampung kawasan pesisir kini bergantung kepada jalan di kawasan Felda Sahabat sebagai akses untuk memasarkan hasil keluaran mereka atau untuk ke bandar Lahad Datu.

Sebagai contoh, katanya, penduduk Tanjung Labian yang berjumlah kira-kira 5,000 orang terpaksa memasuki Felda Sahabat dan menggunakan jalan raya di ladang berkenaan jika hendak ke bandar Lahad Datu yang jaraknya kira-kira 150km.

Tanjung Labian menjadi medan pertempuran antara anggota keselamatan Malaysia dengan kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang menceroboh pantai timur Sabah pada 12 Feb lepas.

Menurut Assafal, kewujudan jalan pantai boleh menarik kemasukan pelaburan luar dalam sektor industri berkaitan sumber maritim, pelancongan dan pembangunan bandar.

Beliau menarik perhatian bahawa pantai timur Sabah kaya dengan pelbagai sumber laut, malah dikatakan mempunyai sumber ikan tuna sirip kuning yang besar, sesuai untuk industri perikanan dan akuakultur.

"Tanjung Labian sendiri boleh dijadikan sebagai lokasi Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) untuk Lahad Datu kerana di pantai timur Sabah cuma Sandakan, Semporna dan Tawau sahaja yang ada CIQ," katanya.

Assafal berkata Tanjung Labian merupakan lokasi paling hampir dengan wilayah Bongou dan Tawi-Tawi di selatan Filipina dan kewujudan CIQ di Tanjung Labian boleh merangsang perdagangan merentas sempadan antara selatan Filipina dan Lahad Datu.

"Kemudahan CIQ seperti itu akan memudakan pihak berkuasa mengawal kemasukan rakyat asing secara sah ke Sabah melalui Lahad Datu," katanya.

Justeru, Assafal mencadangkan supaya pembangunan jalan pantai itu disenaraikan dalam perancangan pembangunan di bawah ESSCOM.

- Bernama

ADS